Thursday, September 19, 2024
28.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bunga cinta dari Roze

    (Siri 2)

    Oleh Lara Hiba –

    II

    Aku kadang-kadang menemaninya jika dia ingin ke mall berbelanja untuk membeli baju.

    Aku diminta untuk memilih baju yang cocok dengan warna yang dia suka. Katanya, pilihanku untuk warna, corak bunga sangat dia suka. Setelah penat jalan-jalan kami terus naik ke paras tiga untuk menjamu selera.

    Setelah selesai menikmati makan, kami terus turun ke lobi. Mulanya aku ingin menghantar terus Roze balik ke rumahnya. Tapi Roze minta untuk ke pasar malam Gadong. Kami pun terus ke pasar malam Gadong. Jam sudah menunjukkan pukul tujuh malam. Pengunjung begitu ramai. Musim buah-buahan telah tiba. Pasar Gadong begitu meriah, pesta buah durian telah berlaku. Buah-buah durian bermacam jenis semuanya ada. Boleh dikatakan buah-buah durian dan juga buah-buahan lainnya itu adalah diimport dari negara jiran seperti dari Sipitang, Lawas, Tenom, juga dari daerah Miri. Harganya juga tidak begitu mahal.

    “Kita makan saja di meja ini ya Roze.

    “Ok bang” katanya sambil melepaskan lelah. “Apa kata Roze tadi? abang?” tanyaku pendek.

    Gambar Freepik

    “Ya, kenapa ada yang salah dengan panggilan saya tadi?

    “Tidak…cuma panggilan itu yang membuat aku tertanya-tanya…

    “Kita telah lama menjalin cinta…jadi biarlah panggilan itu kita pakai demi cinta abadi,” kata Roze meyakinkan aku. Kami sama-sama setuju dengan panggilan itu.

    “Mengapa dia membuat hatiku hancur setelah cintanya ku balas?” kata Roze sendirian saat duduk-duduk di kerusi sofa di bilik tamu rumahnya. Sudah hampir enam bulan cinta mereka tiada hujungnya.

    Cinta yang mereka bina masuk enam tahun itu bukanlah satu masa yang pendek. Mereka sangat akrab. Cuma belum lagi ada masa untuk memperkenalkan kepada keluarga masing-masing.

    Roze terpaksa memutuskan hubungannya kerana merasa dirinya tertipu oleh jejaka yang dia harapkan di satu masa menjadi pendamping hidupnya.

    “Percayalah…aku masih mencintaimu bang,” dalam menahan harunya air mata Roze mengalir perlahan di pipinya yang gebu itu. Dia masih terbayang yang pada satu hari kekasihnya, Matnuh, telah memberinya sepohon pokok bunga hias yang menjadi trending peminat bunga masa itu. Pokoknya subur berdaun hijau dan membentuk persis gelombang.

    “Bunga ini abang hadiahkan untuk sayang.

    “Aduhai indah pohonnya hijau berseri bergelombang…sayang suka bunga ini…

    “Abang beri nama pokok hias ini…gelombang cinta…” Roze senang hati menerima pohon bunga itu.

    “Macam gelombang daun bunga inilah gelombang cinta abang pada sayang.” Kedua-duanya tersenyum mesra.

    Bunga gelombang cinta yang Roze tanam itu sangat subur. Daunnya besar lebar bergelombang amat menyenangkan hati.

    “Sayang terpaksa memutuskan hubungan cinta kita bang…sayang masih cinta pada abang…tapi berita yang sayang terima tentang abang, sangat melukakan hati dan perasaan sayang…” kata Roze mengadu sambil membelai daun bunga kesayangan pemberian kekasihnya, Matnuh.

    Matnuh turun di halaman rumah dan menghampiri rumpun bunga yang mekar berseri di pagi hari.

    Bunganya berwarna putih bersih dan bercahaya bila disinari matahari pagi. Dia masih ingat malah boleh dikatakan tidak pernah dia berpisah dengan bunga setiap pagi walaupun usia bunga itu sudah mencecah enam tahun dan enam bulan. Disiram dan diberi baja yang pada asalnya hanya setangkai bunga. Lalu dia tanam hingga menjadi serumpun yang besar.

    “Nah ini bunga untuk abang…hadiah dari sayang,” kata Roze terus memberi bunga tersebut kepada kekasihnya Matnuh. Matnuh menerima senang hati sambil menatap mata Roze yang ayu itu.

    “Bunga tanda kasih sayang untuk abang.

    “Terima kasih sayangku,” jawab Matnuh pendek.

    “Abang boleh tanam batang bunga ini…mudah tumbuh bang,” kata Roze lagi pada Matnuh.

    “Abang akan tanam bunga ini…bunganya putih bersih ya sayang.

    “Ya, putih bersih…begitulah putihnya cinta sayang kepada abang. Tidak akan tercalar sedikit pun bang.

    “Akan abang pelihara bunga pemberian sayang ini. Abang beri nama bunga ini bunga cinta dari Roze.”

    Roze ketawa kecil bila dia mendengar kekasihnya Matnuh menamakan bunga pemberiannya sebagai bunga cinta.

    “Sampai hati kau Roze…semudah itu kau menjauhi dari sisiku,” keluh Matnuh dalam hatinya. Sejak enam bulan Roze pergi meninggalkannya, Matnuh kelihatan murung saja.

    Sesekali dia menelusuri tempat-tempat yang pernah mereka lalui semasa menjalin cinta kasih mereka berdua.

    Saat dia sampai saja ke tempat yang mereka pernah duduk-duduk di situ hatinya terharu dan menitiskan air mata.

    “Seandainya sayang tahu dan melihat abang sendirian di sini abang pasti sayang juga rindu tempat ini,” katanya. Itu cuma tinggal kenangan yang manis yang tak terlupakan oleh Matnuh.

    Dia menuju ke halaman depan rumahnya, di situ terdapat pohon bunga hias pemberian kekasihnya Matnuh yang dipelihara dan dijaganya seperti menjaga dirinya sendiri.

    “Lihatlah wahai kekasihku…gelombang cinta yang abang beri dulu masih segar umpama segarnya cintaku pada abang,” katanya sendirian.

    Roze tahu dia sendiri yang menjauhkan dari Matnuh sekali gus memutuskan hubungan mereka walaupun hubungan cinta masih lagi utuh.

    Dia bangun dari lamunannya dan terus menuju ke taman bunga yang dipeliharanya.

    Saat itu masih pagi benar, embun pun masih membasahi daun-daun bunga tanamannya.

    “Lihatlah sayang, bunga cinta yang sayang berikan enam tahun yang lalu subur membentuk rumpun yang banyak…ketahuilah sayang bunga putih bersih ini telah abang beri nama…Bunga Cinta Dari Roze…

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda