Thursday, March 13, 2025
22.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bunuh: Kereta pemandu e-hailing tidak diusik

    TAWAU, 5 JAN – Seorang pegawai polis dari Unit D7a memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa dia tidak pernah mencemar atau mengusik bahagian dalam sebuah kereta yang dikaitkan dengan kes pembunuhan seorang pemandu e-hailing di sebuah ladang kelapa sawit pada awal tahun lepas.

    Semasa pemeriksaan semula Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Mohammad Fakhrurrazi Ahmad, saksi pendakwaan, Insp Muhammad Amir Aiman Abu, 33, berkata dia hanya bertindak atas arahan pegawai penyiasat untuk merampas kereta terbabit dan dipindahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau di sini.

    Menurutnya, kereta itu ditunda oleh sebuah syarikat tunda kenderaan tanpa sesiapa perlu memasuki kereta tersebut.

    Mohammad Fakhrurrazi: “Semasa menjawab cadangan peguam Datuk Ram Singh iaitu kamu telah mencemarkan eksibit yang sangat penting di tempat kejadian jenayah, boleh jelaskan kenapa kamu tidak bersetuju?”

    Muhammad Amir Aiman: “Saya tidak pegang secara langsung barang kes yang saya serahkan kepada pegawai penyiasat”.

    Pegawai Kanan Polis, Datuk Mat Zaki Md Zain (kanan) bersama enam anggota ESSCOM didakwa di Mahkamah Tinggi atas peetuduhan membunuh dan bersubahat pemandu e-hailing kelmarin. – Bernama

    Mohammad Fakhrurrazi: “Semasa menjawab cadangan peguam (Erveana Ansari) iaitu mustahil tidak ada sesiapa di dalam kereta tersebut, brek tangan perlu dilepaskan untuk menarik kereta, boleh jelaskan mengapa kamu tidak bersetuju?”

    Muhammad Amir Aiman: “Saya tidak bersetuju (cadangan Erveana) kerana saya tidak pasti sama ada brek tangan tersebut berfungsi atau tidak ketika itu”.

    Pegawai polis dari IPD Tawau itu berkata demikian semasa memberi keterangan pada hari keempat perbicaraan kes bunuh pemandu e-hailing Nurman Bakaratu, 61, membabitkan lapan tertuduh iaitu bekas Ketua Staf Perisikan Eastern Sabah Security Command (ESSCOM), Datuk Mat Zaki Md Zain, enam anggota polis dan seorang awam.

    Rosdi Rastam, 45, Denis Anit, 45, Fabian Rungam, 44, Khairul Azman Bakar, 47, Mohd Azlan Sakaran, 40, John Kennedy Sanggah, 44, dan Vivien Fabian, 34, didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah ladang kelapa sawit berdekatan Jalan Anjur Juara, Jalan Apas Baru 5 di sini di antara 7:30 malam hingga 11:30 malam pada 13 Januari tahun lepas.

    Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Duncan Sikodol bersambung pada 22 Januari ini. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda