Ruang mencipta nama di peringkat antarabangsa semakin terbentang luas selepas muncul dalam program realiti, American Got Talent, namun Cakra Khan tidak melupakan peminat di rantau Nusantara yang menjadi tulang belakang kekuatannya.
Sebagai mengotakan janji, penyanyi berusia 31 tahun yang terkenal dengan vokal ‘jantan’, kembali ke Kuala Lumpur bagi menyempurnakan Konsert Cakra Khan Live in Kuala Lumpur dalam memenuhi rangka Dream Festival Collaboration Vol 4 di Zepp Kuala Lumpur pada 17 September depan.
Konsert itu bakal membawa peminat menelusuri perjalanan kerjaya nyanyiannya selama lebih sedekad, bermula dengan single Harus Terpisah yang pantas melonjakkan popularitinya di Indonesia dan Malaysia sejak 2012.
Pengarah Projek Dream Festival, Rama Ananda Ambri berkata, acara itu menjanjikan hiburan luar biasa menerusi persembahan istimewa Cakra bersama penyanyi undangan khas dari Malaysia.
“Kemunculan Cakra bersama penyanyi undangan misteri itu bakal menghangatkan lagi siri Dream Festival Collaboration Vol 4, sekali gus membawa penonton merentasi magis perjalanan hiburan tidak dilupakan.
“Sebagai penyanyi, Cakra dilihat sosok yang sangat berbakat dan memiliki karisma tersendiri setiap kali beraksi di pentas. Dikenali dengan kehebatan vokal dan aksi yang penuh energetik, kami yakin kemunculan Cakra pasti memberikan kepuasan jitu kepada penggemarnya,” katanya.
Tambahnya, profil seni Cakra yang pernah meraih pelbagai penghargaan, selain mengukir nama antara penyanyi terbaik di rantau Nusantara, sekali gus memberi nilai tambah pada acara yang dibawakan Inspire IDN dengan kerjasama Laskar Entertainment itu.
“Bersama penyanyi undangan yang masih dirahsiakan, kami yakin elemen kejutan bakal menambah daya tarikan acara,” katanya. – Agensi