BANGKOK, 13 NOV – Para aktivis hari ini menuntut kerajaan Thailand segera meluluskan ’akta udara bersih’ ketika kerajaan negara itu bersedia untuk musim pencemaran puncak tahunannya.
Rangkaian Udara Bersih Thailand (CAN), kumpulan ahli akademik dan aktivis, mengemukakan cadangan undang-undang kepada kerajaan bersama dengan surat terbuka kepada Perdana Menteri Srettha Thavisin, menyeru agar tindakan diambil segera bagi meringankan ‘kesakitan dan penderitaan yang ditanggung oleh rakyat Thailand.’
Lebih dua juta orang mendapatkan rawatan perubatan untuk masalah yang dikaitkan dengan pencemaran udara, menurut kementerian kesihatan.
CAN memberi amaran dalam suratnya kepada Srettha bahawa ‘agensi kerajaan yang bertanggungjawab tidak dapat menguruskan masalah ini dengan berkesan’, menunjukkan kekurangan penyelarasan antara kementerian.
“Tiada sistem pengurusan disediakan untuk menangani isu ini secara bersepadu sepenuhnya dan oleh itu, agensi kerajaan terus terperangkap dalam kitaran ganas, dengan tumpuan hanya dalam menangani akibat daripada masalah itu,” kata surat itu.
Draf rang undang-undang udara bersih dijangka dibentangkan kepada kabinet bulan ini, tetapi CAN memberi amaran bahawa tanpa pengesahan Stretha, kemungkinan undang-undang itu diluluskan adalah tipis.
Pelepasan daripada industri, diikuti dengan asap ekzos kenderaan dan asap daripada pembakaran tunggul oleh petani, menurunkan kualiti udara di Thailand setiap tahun.
Tempoh pencemaran paling teruk biasanya dari Disember hingga Februari bertepatan dengan musim kemuncak pelancongan tetapi lonjakan yang tidak dijangka di Bangkok bulan lepas memaksa pihak berkuasa berjanji untuk mengambil tindakan segera. – AFP
