Penyanyi rap dan aktivis kemanusian Malaysia, Caprice kini dibenarkan berkongsi sebarang berita melibatkan pendakwah Ebit Lew.
Caprice atau Ariz Ramli, 37, memberitahu Mahkamah Tinggi Shah Alam membuat keputusan menarik balik injuksi interim yang menghalangnya mengeluarkan kenyataan mencemarkan reputasi dan berbentuk ugutan terhadap Ebit sebelum ini.
Ebit juga diperintahkan membayar wang yang tidak didedahkan jumlahnya kepada Caprice.
“Hari ini kita menang di Mahkamah Tinggi untuk lawan injuksi interim kes Ebit Lew.
“Pihak sana kena bayar kepada kami sejumlah wang dan kami sekali lagi dibenarkan untuk berkongsi mana-mana berita mengenai Ebit Lew,” katanya.
Menurut mStar, Caprice berkongsi mengenai perkara itu menerusi hantaran di Instgram miliknya kelmarin.
Dalam pada itu, Caprice menjelaskan sebelum ini dia terpaksa berdiam diri daripada mengulas isu membabitkan Ebit kerana terikat dengan injuksi dikeluarkan mahkamah.
“Ramai tanya kenapa Cap tiba-tiba lama senyap? Sebab pihak sana pasang injunksi interim agar saya tak dapat petik nama dia atau cover berita mengenainya.
“Tapi hari ni kita menang. Syukur Alhamdulillah,” ujarnya.
Pada 5 Oktober 2023, Mahkamah Sesyen Shah Alam mengeluarkan perintah injuksi interim terhadap Caprice bagi menghalang dia dan pempengaruh media sosial The Mondy Tattoo daripada mengeluarkan kenyataan mencemarkan reputasi dan berbentuk ugutan terhadap Ebit.
Ia susulan pada 15 September tahun sama, Caprice memuat naik rakaman video yang mana pempengaruh media sosial berkenaan dijadikan sebagai tetamu jemputan dalam sebuah video podcast yang disiarkan di YouTube.
Rakaman itu antara lain membawa maksud bahawa Ebit selaku plaintif melakukan gangguan seksual dan mengambil kesempatan terhadap Mondy, selain seorang tidak bertanggungjawab serta penunggang agama.
Plaintif mendakwa Caprice selaku defendan pertama secara jahat menerbitkan video berkenaan tanpa membuat sebarang pengesahan fakta daripadanya atau peguam. – Agensi