Oleh Mersita –
Si ‘anak bulus’ awda adalah antara ahli keluarga terpenting dan paling disayangi.
Kesihatan dan penampilan kucing peliharaan awda perlu sentiasa dijaga dengan baik, diberi makanan yang sihat dan yang paling penting ia tidak boleh ditinggalkan di rumah bersendirian terlalu lama!
Kalaulah awda perlu membawa kucing awda ke klinik haiwan, tempat grooming, balik kampung atau sekadar untuk bersiar-siar, apa yang patut awda sediakan?
Selain daripada persediaan fizikal dan mental, di sini kami ingin sertakan beberapa tip berguna untuk cat parent di luar sana dari laman blog Wap.car.
1. CARI CARRIER KUCING YANG BAGUS
Tak ada carrier, tak boleh bawa masuk dalam kereta, ya. Faktor keselamatan ini amat penting bagi melindungi kucing kesayangan awda daripada sebarang bahaya dan bagi mengelakkannya daripada berkeliaran di dalam kereta.
Ia lebih kurang sama dengan kerusi keselamatan kanak-kanak jika diikat rapi menggunakan tali pinggang keledar.
Beberapa carrier masa kini juga sudah disediakan dengan sambungan ISOFIX bagi memudahkan awda meletakkan si kucing di tempat duduk kereta dengan selamat.
Pastikan juga saiz carrier awda sesuai untuk saiz badan kucing awda. Pastikan ada ruang yang selesa untuk bergerak-gerak.
Tingkah laku haiwan peliharaan awda susah untuk dijangka dalam kondisi di luar rumah.
Sekiranyalah kucing awda tiba-tiba panik itu memang bahaya untuk keselamatan semua yang ada di dalam kereta dan pengguna jalan raya lain.
2. SEDIAKAN LITTER BOX YANG MUDAH DIBAWA KEMANA-MANA
Inilah kepentingan saiz carrier yang sesuai kerana sekurang-kurangnya awda boleh menyediakan sedikit ruang bagi timbunan litter supaya si bulus boleh membuang air dengan efektif ketika dibawa naik kereta.
Awda boleh lekatkan lapik penyerap dan timbunkan bahan litter mencukupi di atas lapik berkenaan.
Awda boleh DIY sedikit carrier kucing awda supaya ia ada ruang litter khas, ataupun beli saja carrier yang direka khas dengan ruang untuk ‘membuang’.
3. SEDIAKAN CATNIP, PEK MAKANAN KUCING, AIR DALAM BOTOL FEEDER DAN MAINAN
Sediakanlah sedikit makanan dalam pek mudah dibawa dan gunakan botol feeder bagi memudahkan kucing awda minum dengan kemas.
Juga bawa beberapa mainan kegemarannya yang cukup kecil dan sesuai untuk diletakkan bersama di dalam carrier.
Barangan yang ada bau dikenali kucing awda boleh membantunya tenang sepanjang perjalanan. Awda juga boleh bawa catnip untuk membantu menenangkan kucing awda.
4. BERHENTI SETIAP 1-2 JAM DI KAWASAN YANG TELAH DIRANCANG SEBELUM MEMULAKAN PERJALANAN
Rancang perjalanan awda terutama sekali jika jaraknya jauh.
Awda boleh keluarkan kucing awda dari carrier dan membiarkannya relax di sekitar kabin kereta selama 10 hingga 15 minit sementara awda menggantikan litter di dalam carrier atau berehat bersama si bulus.
5. BAWA KAWAN ATAU KELUARGA UNTUK TEMANKAN AWDA MEMANDU
Ini penting supaya awda tak kelam-kabut jika kucing awda panik di dalam kereta. Awda sepatutnya sentiasa fokus memandu setiap masa.
Jika awda boleh usahakan mengajak seorang rakan atau ahli keluarga untuk menemani awda sepanjang perjalanan, bukan saja perjalanan awda jadi lebih mudah dan selamat, malah keselesaan serta keperluan kucing awda juga dapat dipastikan tip-top sepanjang perjalanan.
Sebaiknya bawalah ahli keluarga yang dikenali kucing awda supaya ia lebih selesa.
RANCANG, RANCANG, RANCANG
Terutama sekali di musim perayaan ini, pasti ramai cat parents yang bingung memikirkan kebajikan ‘anak bulus’ masing-masing.
Nak hantar pergi cat hotel, mahal pula. Kondisi di sana pun sukar untuk dipastikan, terutama sekali apabila dicampur dengan kucing-kucing lain.
Perkara paling penting ialah awda perlu pastikan kucing awda tidak stres dan panik.
Sekiranya kucing awda sudah dilatih dan dibiasakan menaiki kereta, awda barangkali lebih otai daripada penulis yang terpaksa bertungkus-lumus dengan ‘anak bulus’ sendiri. – Agensi