Sunday, January 5, 2025
28.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Cari inspirasi artistik daripada sisa plastik

    KEPULAUAN MIAODAO, CHINA – Ketika awan ribut berkumpul di langit di pantai yang dilupakan di kepulauan Miaodao China, artis Fu Junsheng berjalan melalui timbunan sisa plastik yang dihanyutkan di sepanjang pantai, mencari inspirasi.

    China ialah pengeluar plastik terbesar di dunia, dan pulau-pulau itu – destinasi pelancongan menarik – terletak dalam aliran silang beberapa semenanjung timur yang sangat maju.

    Setiap ribut akan membawa ombak baharu terdiri daripada serpihan terapung ke pantai pasir putih kepulauan itu – dan lapan tahun lalu, Fu memutuskan untuk menjadikan sisa buangan tersebut diubah menjadi mesej artistik dan mediumnya.

    “Generasi kita telah menyaksikan perkembangan masyarakat yang pesat. Dalam proses itu, kita kadang-kadang mengabaikan alam semula jadi, malah ada kalanya, mengabaikannya sama sekali,” kata lelaki berusia 36 tahun itu sambil membawa wartawan AFP melihat sekeliling studionya, penuh dengan karya atau objek yang dicipta daripada plastik yang terdampar di pantai.

    Salah satu hasil ciptaan yang paling menarik memaparkan hampir 900 selipar, dipamerkan di hadapan lukisan minyak pemandangan lautnya.

    Gambar menunjukkan pelampung plastik dan serpihan lain yang terdampar di sepanjang pantai di Yantai, wilayah timur Shandong, China. – AFP
    Artis Fu Junsheng bergambar di studionya di Yantai, wilayah Shandong, China. – AFP
    Fu Junsheng mengambil gambar kepingan plastik di pantai Miaodao, Yantai. – AFP
    Gambar AFP
    Barangan plastik dilitupi teritip yang dikutip dari pantai dipamerkan di studio Fu Junsheng. – AFP
    Fu Junsheng mengasingkan sisa plastik yang dikutip dari pantai di studionya. – AFP
    Pelbagai pemetik api dipamerkan di studio Fu Junsheng. – AFP
    Fu Junsheng bergambar menerusi tayar yang dipenuhi teritip di studionya. – AFP

    “Sampah laut membawa kehidupan seharian kita, kehidupan setiap kita,” katanya.

    Item paling lama yang telah dikumpulkan Fu ialah paket mi segera dari tahun 1993.

    Meskipun terdedah kepada elemen selama lebih 30 tahun, ia kekal utuh, hampir tidak menunjukkan sebarang tanda penguraian.

    “Objek seperti ini tidak hilang sebaliknya terurai menjadi zarah-zarah kecil, yang akhirnya boleh ditelan oleh hidupan marin dan, akhirnya, oleh kita,” kata Fu.

    “Proses ini tidak dapat dilihat dengan mata kasar.”

    ‘MASALAH GLOBAL’

    Pulau-pulau Miaodao terletak bertentangan dengan semenanjung Korea, di mana minggu ini perunding dari seluruh dunia berusaha melaksanakan perjanjian antarabangsa untuk membendung pencemaran plastik.

    Fu telah menemui pemetik api dan botol kopi dari Korea Selatan semasa kunjungannya ke pantai.

    “Perlindungan ekologi marin memerlukan orang ramai dari negara dan wilayah berbeza untuk bekerjasama,” katanya.

    “Ia bukan isu setempat – ia adalah masalah global yang lebih luas.”

    Di universiti berdekatan Qingdao, Fu mula berminat dengan kesan alam sekitar akibat pembandaran pesat China dari akhir 1980an dan tahun-tahun seterusnya.

    Hari ini, kilang-kilang di China menghasilkan paling banyak plastik di seluruh dunia – 75 juta tan pada 2023, menurut statistik rasmi.

    Walaupun ia tidak dianggap sebagai pencemar plastik terbesar di dunia, 1.4 bilion rakyatnya masih menghasilkan 63 juta tan sisa plastik pada 2022, menurut media kerajaan yang memetik sebuah badan kebangsaan.

    Kebanyakan sisa tersebut dikitar semula, dibuang di tapak pelupusan sampah atau dibakar – kira-kira 30 peratus setiap satu – manakala tujuh peratus ditinggalkan begitu sahaja.

    Fu berhujah bahawa sementara menghapuskan sepenuhnya penggunaan plastik adalah tidak realistik, adalah penting untuk menggunakannya dalam ‘cara yang lebih terkawal dan tepat.’

    Di seluruh dunia, lebih 90 peratus plastik tidak dikitar semula, dengan lebih 20 juta tan mencemari alam sekitar, selalunya selepas hanya beberapa minit digunakan.

    “Orang ramai sering menangani masalah ini daripada perspektif individu. Tetapi isu alam sekitar adalah cabaran kolektif untuk manusia,” katanya.

    BARANGAN RUMAH HARIAN

    Selama bertahun-tahun, Fu telah mengumpulkan pelbagai objek – kebanyakannya barangan harian rumah seperti mainan kanak-kanak, belon, berus gigi dan botol.

    Menurutnya, matlamatnya adalah untuk menyedarkan orang ramai betapa pencemaran laut amat berkaitan rapat dengan kehidupan seharian mereka.

    Dalam satu hasil karya yang disiarkan dalam talian, dia membina pelangi daripada kepingan plastik berwarna berbeza; dalam satu ciptaan lagi, anak patung kempis dikelilingi oleh berpuluh-puluh sarung tangan getah beraneka warna.

    Satu karya yang dipamerkan termasuk rak bekas kosmetik terpakai dan kelengkapan dandanan diri usang.

    “Produk berkenaan bertujuan membuatkan kami berasa lebih bersih dan lebih cantik,” kata Fu.

    “Tetapi ia sering berakhir di lautan, mencemarkan air, merosakkan ekosistem marin dan akhirnya menjadikan dunia kita kurang cantik.” – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda