Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 18 APRIL – Bersempena bulan Ramadan yang penuh dengan keampunan dan keberkatan ini, Badan Ugama Islam, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah mengendalikan ceramah agama di Surau Sementara, Dewan Persidangan PPDB, Ibu Pejabat Polis, Gadong.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pesuruhjaya Polis Diraja Brunei, Dato Paduka Seri Haji Mohammad Irwan bin Haji Hambali.
Turut hadir ialah Timbalan Pesuruhjaya Polis, Pengiran Dato Seri Pahlawan Haji Mohd Jefri bin Pengiran Haji Abdul Hamid, para pengarah, timbalan pengarah, pegawai-pegawai kanan, pegawai, anggota dan kakitangan awam PPDB.
Ceramah agama bertajuk ‘Hikmah Puasa’ itu telah disampaikan oleh penceramah undangan iaitu Pegawai Perkembangan Ugama, Pusat Dakwah Islamiah, Awang Isham bin Ismail.
Inti pati kuliah berkenaan mengungkap mengenai keistimewaan dan kelebihan bulan Ramadan di mana umat Islam menumpukan sepenuh masa dan perhatian mereka dalam melaksanakan ibadah puasa dan amalan-amalan bagi merebut tawaran dan ganjaran yang Allah sediakan di sepanjang bulan Ramadan ini.