Thursday, February 6, 2025
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Charly lawan trauma naiki pesawat demi peminat

    Insiden pesawat terhempas yang kerap berlaku dalam tempoh beberapa tahun ini membuatkan bekas vokalis kumpulan popular Indonesia, ST12, Charly Van Haouten menjadi trauma untuk terbang ke luar negara.

    Gara-gara ketakutan itu, ST12 pernah terlepas peluang dua kali untuk menjayakan undangan persembahan di Amerika Syarikat (AS).

    Charly berkata, dia pernah menolak hampir 60 undangan persembahan gara-gara keengganan menaiki pesawat.

    “Saya mula trauma menaiki pesawat sejak lima tahun lalu. Ini berikutan insiden beberapa pesawat terhempas sehingga meragut nyawa ramai penumpang.

    “Saya sanggup menolak dua undangan persembahan di AS. Bukan itu sahaja, saya juga menolak hampir 60 persembahan di luar Indonesia yang memerlukan saya menaiki pesawat.

    Charly berkata, dia pernah menolak hampir 60 undangan persembahan gara-gara keengganan menaiki pesawat. – Agensi

    “Saya lebih selesa menggunakan pengangkutan darat jika mahu ke mana-mana. Jadi, saya akan bergerak lebih awal berbanding anggota ST12 lain bagi memastikan tiba tepat pada waktunya,” katanya kepada BH Online.

    Charly ditemui pada sidang media Konsert ST12 Reunion 20 Tahun Charly Berkarya di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

    Kunjungan Charly ke Kuala Lumpur bagi mempromosikan konsert yang bakal berlangsung pada 11 Mac, tahun depan di Stadium Axiata Arena, Bukit Jalil.

    Charly berkata, dia sanggup melawan ketakutannya menaiki pesawat memandangkan sudah hampir sedekad tidak berkunjung dan bertemu peminat di Malaysia.

    “Sudah hampir 10 tahun kami tidak ke Malaysia. Kali terakhir, ST12 bersama Allahyarham Saleem Iklim yang pernah menjadi tetamu undangan.

    “Ramai ramai penganjur menghubungi, jadi saya juga tidak mahu menghampakan peminat di Malaysia. Saya terima juga undangan walaupun takut,” katanya

    Selain Charly, kumpulan yang popular menerusi lagu Putih Putih Melati dan Jangan Pernah Berubah itu turut menampilkan seorang lagi vokalis iaitu Firman.

    Kumpulan ditubuhkan di Bandung pada 2004 itu pernah dianggotai Ilham Febry (dram), Decy Sudrajat (gitar) dan Allahyarham Iman Rush (gitar).

    Konsert ST12 Reunion 20 Tahun Charly Berkarya anjuran Menara Network Sdn Bhd itu bakal menggabungkan band baharu Charly, Setia Band dan ST12. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda