Saturday, September 28, 2024
30.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Chatbot AI tampil suara selebriti

    MENLO PARK, 27 SEPT – Meta melancarkan chatbot kecerdasan buatan (AI) yang disuarakan oleh selebriti Hollywood termasuk Judi Dench dan John Cena Rabu lalu.

    Pada acara pelancaran produk tahunan syarikat itu, Ketua Pegawai Eksekutif, Mark Zuckerberg turut melancarkan prototaip cermin mata realiti tambahan yang kelihatan normal, di mana beliau berharap suatu hari nanti boleh menggantikan telefon pintar.

    Gergasi media sosial, Meta menggunakan AI dan aplikasi realiti maya dan tambahan untuk mempelbagaikan aliran pendapatannya.

    Bagaimanapun, syarikat itu masih belum meyakinkan pelabur tentang keperluan untuk beralih daripada model berasaskan pengiklanan yang amat menguntungkan.

    “Saya fikir suara mempunyai potensi untuk menjadi salah satu cara untuk berinteraksi dengan AI,” kata Zuckerberg, menunjukkan perbualan dengan versi AI penghibur Awkwafina.

    “Ia jauh lebih baik,” katanya.

    Pelancaran tersebut mengikuti ciri kontroversi suara ChatGPT OpenAI, yang mendapat kritikan kerana persamaannya dengan suara aktres, Scarlett Johansson.

    Meta telah mendapatkan kebenaran daripada selebriti yang dipaparkan dalam alat suaranya, yang akan tersedia di Instagram, Facebook dan WhatsApp.

    Walau bagaimanapun, disebabkan oleh undang-undang perlindungan data Kesatuan Eropah (EU), Meta AI tidak akan dapat diakses di Eropah. – AFP

    Zuckerberg memakai sepasang cermin mata Orion AR semasa persidangan Meta Connect pada 25 September, di Menlo Park, California. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda