Thursday, February 6, 2025
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Chauvin didapati bersalah bunuh George Floyd

    MINNEAPOLIS, 21 APRIL – Bekas anggota polis Minneapolis, Derek Chauvin, didapati bersalah semalam atas tuduhan pembunuhan tahap kedua dan ketiga serta pembunuhan orang dalam penahanan yang mengorbankan George Floyd.

    Chauvin, 45, berdepan pertuduhan membunuh Floyd pada 25 Mei 2020, insiden yang membawa kepada gelombang bantahan terhadap ketidakadilan berunsur perkauman, sekali gus memahat titik penting berkaitan tanggungjawab polis.

    Juri yang dianggotai 12 orang membuat pertimbangan kurang 11 jam sebelum mendapati Chauvin bertanggungjawab secara jenayah dalam kematian lelaki berkulit hitam itu tahun lalu, selepas mendengar keterangan daripada 45 saksi dalam perbicaraan tiga minggu, termasuk pemerhati, pegawai polis dan pakar perubatan.

    Orang ramai yang berkumpul di luar bangunan mahkamah Minneapolis yang dikawal ketat bersorak gembira, dan ada di antara mereka menangis tanda lega, apabila keputusan diumumkan.

    Chauvin, yang telah dibebaskan dengan ikat jamin, digari selepas Hakim Mahkamah Daerah Hennepin, Peter Cahill membaca keputusan sebulat suara oleh juri yang terdiri daripada tujuh wanita dan lima lelaki.

    Memakai penutup mulut dan hidung tanpa menunjukkan sebarang reaksi, Chauvin diiringi keluar dari bilik mahkamah oleh polis. Dia berdepan hukuman penjara 40 tahun untuk dakwaan paling serius – pembunuhan tahap kedua. Hukumannya akan bermula dalam lapan minggu, kata Hakim Cahill. – AFP

    Gianna Floyd, anak perempuan George Floyd, menyertai keluarga dan penyokong semasa sidang media selepas keputusan dibacakan dalam perbicaraan Derek Chauvin pada 20 April 2021 di Minneapolis. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda