LONDON, 26 Feb – Chelsea melebarkan jurang 11 mata di persada Liga Perdana ketika Pedro memberikan inspirasi kemenangan 3-1 ke atas Swansea City, sementara kesuraman pasukan Leicester semakin jelas ketika juara yang menghadapi masalah itu berada dalam kelompok zon penyingkiran semalam.
Pasukan kendalian Antonio Conte mencatatkan kemenangan ke-17 dalam 20 perlawanan terakhir dalam liga untuk terus menolak mereka menghampiri gelaran.
Cesc Fabregas, yang beraksi bagi menggantikan Nemanja Matic, membuat kemunculannya yang ke-300 dalam persaingan Liga Perdana dan bekas bintang Arsenal itu menandakan pencapaian itu dengan jaringan minit ke-19 bagi golnya yang ke-46.
Mendapatkan hantaran dalam kotak penalti menerusi hantaran Pedro, Fabregas dengan pantas menukar pergerakannya sebelum melepaskan rembatan menewaskan penjaga gawang Swansea, Lukasz Fabianski.
Biarpun dikuasai pada hampir sepanjang separuh masa pertama, Swansea menjaringkan gol penyamaan beberapa saat sebelum rehat di Stamford Bridge.
Sepakan tinggi dari Gylfi Sigurdsson mengelirukan pasukan Blues dan pemain penyerang dari Sepanyol, Fernando Llorente melompat untuk membuat tandukan kencang yang sukar dicapai oleh Thibaut Courtois.
Tetapi penguasaan Chelsea mendatangkan hasil pada minit ke-72 apabila sepakan tinggi Pedro berjaya menewaskan Fabianski.
Diego Costa melengkapkan kutipan tiga mata apabila menyudahkan hantaran dari Eden Hazard pada minit ke-84 bagi golnya yang ke-17 musim ini.
“Sudah pasti kami mendominasi perlawanan. Kami menunjukkan permainan yang hebat pada separuh masa kedua dan layak untuk menang,” kata Conte.
“Sekarang adalah penting untuk melihat kepada diri kami dan meneruskan dengan fokus hebat dan konsentrasi.”
Dengan jadual perlawanan pasukan tangga kedua Manchester City menentang Manchester United ditangguhkan kerana tarikh persaingan Piala Liga pesaing mereka bersama Southampton, Chelsea melebarkan jurang kutipan mata di tangga teratas. – AFP