Thursday, December 26, 2024
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    China, Jepun tingkat kerjasama dua hala

    BEIJING, 25 DIS – Menteri Luar Jepun, Takeshi Iwaya, mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya dari China, Wang Yi, serta pegawai kanan lain di Beijing hari ini, dengan kedua-dua pihak bersetuju untuk meningkatkan kerjasama meskipun mengakui wujudnya cabaran, lapor media tempatan.

    Lawatan itu merupakan kunjungan pertama Iwaya ke China sejak beliau dilantik sebagai diplomat tertinggi Jepun awal tahun ini.

    China dan Jepun adalah rakan dagang utama, tetapi hubungan kedua-dua negara dilaporkan mengalami ketegangan dalam beberapa tahun kebelakangan ini berikutan pertikaian wilayah dan peningkatan perbelanjaan ketenteraan.

    Dalam pertemuan di Rumah Tetamu Negara Diaoyutai di Beijing, Iwaya memberitahu Wang bahawa Tokyo akan berusaha untuk ‘mengurangkan cabaran dan perkara-perkara yang menimbul kebimbangan sambil meningkatkan kerjasama dan kolaborasi,” menurut agensi berita Kyodo.

    Sebelum itu, Iwaya juga bertemu dengan Perdana Menteri China, Li Qiang, dan kedua-dua pihak bersetuju untuk menjalin hubungan yang ‘konstruktif dan stabil,’ lapor agensi sama.

    Ketegangan antara kedua-dua negara memuncak tahun lalu selepas Jepun memulakan pelepasan air penyejuk reaktor nuklear Fukushima ke Lautan Pasifik, tindakan yang dianggap selamat oleh Agensi Atom Antarabangsa (IAEA), namun dikecam oleh China sebagai langkah ‘mementingkan diri.’

    China bertindak dengan mengharamkan semua import makanan laut dari Jepun tetapi pada September lalu, mengumumkan akan ‘secara beransur-ansur menyambung semula’ perdagangan tersebut.

    Menurut data kastam, China mengimport makanan laut dari Jepun bernilai lebih AS$500 juta pada 2022. – AFP

    Iwaya (kiri) semasa mengadakan pertemuan dengan Li Qiang, di Dewan Besar Rakyat, Beijing, kelmarin. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda