BEIJING, 26 NOV – Pihak berkuasa meteorologi China hari ini mengekalkan amaran kuning untuk ribut salji dan gelombang sejuk, meramalkan ribut salji dan penurunan suhu yang ketara berterusan di beberapa bahagian negara itu.
Dari pukul 2 petang hari ini hingga 2 petang esok, ribut salji lebat dijangka melanda beberapa kawasan di Inner Mongolia, Heilongjiang, Jilin dan Shandong, menurut Pusat Meteorologi Kebangsaan China, yang menambah bahawa beberapa kawasan dijangka menerima ketebalan salji lebih 15 sentimeter.
Pada masa yang sama, pusat tersebut meramalkan bahawa gelombang sejuk akan melanda kebanyakan bahagian timur laut China serta beberapa kawasan di Shandong, Zhejiang dan Fujian dari pukul 2 petang hari ini hingga 8 pagi pada Khamis.
Suhu di wilayah Heilongjiang, Jilin dan Liaoning di timur laut China dijangka jatuh antara 12 hingga 16 darjah Celsius.
Pusat tersebut menasihatkan pejalan kaki dan pemandu untuk berhati-hati semasa cuaca bersalji dan menggesa pihak berkuasa tempatan untuk mempertingkatkan pemeriksaan dan penyelenggaraan jalan raya, landasan kereta api, kemudahan elektrik dan telekomunikasi. Mereka juga menyeru langkah-langkah diambil untuk melindungi ternakan dan tanaman daripada kesejukan.
China menggunakan sistem amaran cuaca berwarna empat peringkat, iaitu merah mewakili cuaca paling teruk, diikuti oleh jingga, kuning dan biru. – Xinhua