BEIJING, 9 DIS – Pihak berkuasa ubat-ubatan China hari ini meluluskan penggunaan kecemasan bagi rawatan khas terhadap COVID-19, dengan ujian klinikal menunjukkan ia mengurangkan kemasukan ke hospital dan kematian dalam kalangan pesakit berisiko tinggi.
Langkah itu berlaku ketika pengawal atur di seluruh dunia memberikan persetujuan bagi rawatan – khususnya bagi kumpulan berisiko tinggi – di tengah-tengah kebimbangan mengenai varian baharu, Omicron.
China kini juga sedang berhadapan sejumlah kajian yang menunjukkan bahawa vaksin buatannya mempunyai kadar keberkesanan rendah berbanding kebanyakan vaksin dibuat di luar negara.
Dalam satu notis rasmi dikeluarkan kelmarin, Jabatan Pengawalan dan Penyeliaan Perubatan China (NMPD), mengatakan ia telah memberi ‘kelulusan kecemasan’ bagi rawatan meneutralkan antibodi yang merupakan sejenis protein yang menempel kepada spike protein koronavirus, mengurangkan keupayaannya untuk memasuki sel tubuh.
Rawatan melibatkan kombinasi dua ubatan-ubatan, diberikan melalui suntikan dan boleh digunakan untuk merawat kes tertentu yang berisiko menjadi teruk, menurut jabatan itu.
Ia dibangunkan bersama oleh Universiti Tsinghua, Teknologi Perubatan Tengshenghuachuang Sdn Bhd (Beijing), anak syarikat Brii Biosciences dan Third People’s Hospital of Shenzhen.
Data ujian menunjukkan kombinasi rawatan itu boleh mengurangkan kemasukan ke hospital dan kematian bagi pesakit berisiko tinggi dalam perkadaran 80 peratus, kata Universiti Tsinghua dalam kenyataannya di media sosial lewat kelmarin. – AFP