BANDAR SERI BEGAWAN, 9 FEB – Pemegang tali pinggang hitam taekwondo termuda Brunei, Clarence Goh, terus mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa dengan aksi cemerlang pada Kejohanan Terbuka Antarabangsa Taekwondo Speed Power ke-12, yang berlangsung dari 7 Februari hingga hari ini, di Kuala Lumpur, Malaysia.
Bertanding dalam Kategori Bawah 8 Tahun, Clarence mempamerkan persembahan luar biasa dengan meraih pingat emas dalam acara Poomsae Individu.
Beliau juga menunjukkan kehebatan dalam kerja berpasukan apabila bersaing dalam Kategori Bawah 10 Tahun, seterusnya memperoleh pingat perak dalam acara Poomsae Beregu Campuran.
Kejayaan Clarence itu mencerminkan dedikasi, semangat dan ketekunannya sejak bergelar pemegang tali pinggang hitam.
Prestasi cemerlangnya di peringkat antarabangsa bukan sahaja hasil kerja kerasnya sendiri, tetapi juga sokongan padu daripada jurulatih kebangsaan serta keluarganya.
Satu ucapan terima kasih khas ditujukan kepada semua jurulatih yang telah membimbingnya, khususnya Master Nikman dan Jurulatih Habiba atas tunjuk ajar dan sokongan berterusan mereka.
Perjalanan inspirasi Clarence menjadi bukti bahawa dengan keazaman dan sokongan yang tepat, kejayaan boleh dicapai.
Dia kini menjadi sumber motivasi kepada atlet muda di Brunei dan pada peringkat global.
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2025/02/P23-1-web-10022025.jpg)