SEOUL, 10 DIS – Jangkitan koronavirus baharu di Korea Selatan melebihi 7,000 kes dalam tiga hari berturut-turut hari ini, peningkatan mencecah rekod yang membebankan hospital dan mengancam matlamat negara untuk menangani pandemik tanpa perintah berkurung.
Perdana Menteri Kim Boo-kyum pada satu mesyuarat virus mengatakan kerajaan akan dipaksa mengambil ‘langkah luar biasa’ jika jangkitan tidak segera reda. Pegawai turut mengeluarkan arahan pentadbiran memerlukan hospital di seluruh negara menambah 2,000 lagi katil hospital bagi rawatan COVID-19.
Kim mengatakan kerajaan juga akan mempercepatkan suntikan vaksin dos penggalak dengan memendekkan tempoh masa antara suntikan vaksin kedua dan ketiga dari tempoh empat atau lima bulan pada ketika ini, kepada tiga bulan bermula minggu depan.
Pegawai juga dijangka mengetatkan sekatan bermula Isnin, melarang perhimpunan sosial persendirian dengan jumlah tujuh atau lebih orang di kawasan ibu negara dan memerlukan orang dewasa mengesahkan status vaksinasi mereka di restoran dan venue dalam bangunan. Namun Kim mengatakan langkah seumpamanya belum lagi menunjukkan kesan memperlahankan jangkitan.
“Jika sudah jelas kita tidak berjaya menterbalikkan situasi krisis ini dalam masa beberapa hari lagi, kerajaan tidak punya pilihan kecuali melaksanakan langkah-langkah antivirus luar biasa, termasuk penjarakan fizikal ketat,” kata Kim, pemimpin nombor dua Korea Selatan selepas Presiden Moon Jae-in. – AP
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2021/12/P11-B_11122021.jpg)