Wednesday, February 5, 2025
27.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Daun kelor jana pendapatan penduduk

    Oleh Kurniawati Kamarudin

     

    KUALA SELANGOR, 21 Jun – Ada sesuatu yang menarik di Bestari Jaya yang sebelum ini dikenali sebagai Batang Berjuntai dan ianya adalah berkat usaha gigih aktivis masyarakat, Kumaran Nagapa,40.

    Beliau bukan sahaja memperkenalkan pendekatan pertanian mesra alam untuk penduduk Bestari Jaya tetapi juga mahu memperkasakan mereka dengan hasil tanaman yang mereka usahakan iaitu pokok Kelor.

    Pokok yang berasal dari India ini yang lebih dikenali dengan nama Moringa, Merunggai, Rambungai atau Lemunggai ini sudah mula dikomersialkan untuk menjana pendapatan tambahan bagi penduduk berkenaan.

    Mungkin ada yang tidak tahu pokok Moringa ini yang pernah diberi gelaran ‘Plant Of The Year’ sempena Hari Bumi 2008 adalah sumber makanan lengkap yang kaya dengan kandungan anti oksida yang sangat tinggi.

    Bagi masyarakat kaum India terutama yang tinggal di kampung, pokok Kelor ini memang bukan asing bagi mereka. Biasanya, pokok ini ditanam untuk kegunaan seisi keluarga. Daunnya selain dibuat sayur goreng dan rebus boleh juga digunakan untuk perubatan herba terutama mengubati penyakit kencing manis dan darah tinggi.

    Daun pokok Kelor yang diambil dari kawasan rumah penduduk yang terlibat dalam Projek Grassroots Moringa di Bestari Jaya untuk diproses menjadi serbuk dan pil. – Bernama
    Produk pil daun pokok Kelor melalui Projek Grassroots Moringa yang diusahakan Kumaran di Bestari Jaya. – Bernama

    Permulaan Projek

    Kumaran bercita-cita besar, mahu menobatkan Bestari Jaya sebagai Pekan Moringa. Untuk mencapai matlamat itu, beliau mengambil langkah mengkomersialkan daun Kelor sebagai produk kesihatan untuk dipasarkan dalam bentuk serbuk dan kapsul di bawah jenama ‘Grassroots Moringa Project.’

    Dalam wawancara dengan Bernama baru-baru ini, Kumaran berkata matlamat utama projek itu adalah untuk membantu masyarakat di Bestari Jaya terutama penduduk yang selama ini terpinggir dan dihimpit kemiskinan serta masalah sosial yang teruk.

    Semuanya bermula pada 2012 apabila beliau mendaftar untuk menyambung pelajaran di Universiti Selangor di Bestari Jaya dalam bidang Sains. Bagaimanapun, beliau membuat keputusan untuk berhenti dan menumpukan perhatian kepada kerja kebajikan setelah melihat sendiri kehidupan mereka yang tinggal di pinggir Bestari Jaya.

    Hampir 80 peratus daripada 15,000 orang penduduk di Bestari Jaya terdiri daripada kaum India yang kebanyakannya tinggal di kawasan kampung dan taman perumahan.

    Menurut Kumaran, penduduk yang tinggal di kampung berdepan dengan banyak masalah sosial antaranya ketagihan alkohol, penyalahgunaan dadah, anak-anak keciciran sekolah dan ramai yang tidak dapat keluar daripada kepompong kemiskinan.

    “Saya juga lihat ramai orang kampung di sini menanam pokok kelor atau moringa. Jadi saya terfikir apa yang boleh dimanfaatkan daripada pokok ini. Saya buat kajian dan baca banyak bahan dari luar negara dan mendapati daun moringa mempunyai banyak khasiat.

    “Dari situ saya mula merangka projek ini untuk mengkomersialkannya dengan mengambil daun kelor atau moringa yang penduduk kampung tanam,” katanya kepada Bernama ketika dibawa melawat kawasan penanaman pokok kelor di sini baru-baru ini.

    Bantu Masalah Nutrisi

    Kumaran memulakan projek ini di Kampung Jawa, Selangor yang didiami 95 peratus kaum India dengan penduduk lebih kurang 300 orang.

    Daripada pemerhatian beliau, ramai anak penduduk kampung di sini menghadapi kekurangan nutrisi yang menjadi antara penyebab prestasi akademik mereka masih rendah.

    “Jadi pada peringkat awal itu hanya untuk membantu penduduk kampung mendapat nutrisi makanan yang seimbang melalui pengambilan moringa. Jadi kita suruh mereka tanam pokok moringa di kawasan rumah masing-masing.

    “Di situ kita mula jana pendapatan tambahan dengan menanam pokok moringa dan kemudian kita keringkan untuk dijadikan serbuk,” katanya beberapa ujian dilakukan untuk pemprosesan daun moringa segar menjadi serbuk.

    Melihat potensi daripada jualan kecil-kecilan, beliau kemudian mendaftarkan perniagaan dan melakukan ujian SIRIM untuk analisis nutrisi kandungan Kelor yang telah dijadikan serbuk.

    Ujian Jabatan Kimia oleh Universiti Teknologi Malaysia turut dijalankan untuk melihat tahap kandungan anti oksida di dalamnya.

    “Kedua-dua ujian ini sangat positif. Dari ujian SIRIM menyatakan, Moringa yang ditanam di Bestari Jaya antara yang terbaik di Malaysia berdasarkan kandungan nutrisinya yang mengandungi karbohidrat, tenaga dan protein yang tinggi.

    “Begitu juga kandungan anti oksida melalui sampel yang dihantar sangat tinggi,” katanya hasil kajian yang amat meyakinkan ini antara sebab beliau meluaskan lagi penghasilan serbuk daun kelor.

    Kebun Pokok Kelor

    Pokok Kelor juga banyak ditanam di sekitar kawasan perumahan di pekan Bestari Jaya termasuk Taman Pancaran dan Taman Seri Indah dan perkarangan Masjid Al-Awabin.

    Daun pokok Kelor yang dihantar penduduk Bestari Jaya untuk diproses dijadikan sebagai serbuk dan pil Moringa. – Bernama

    Di sekitar kawasan tersebut tidak kurang 500 pokok ditanam yang melibatkan peserta daripada golongan fakir, asnaf, ibu tunggal, isteri banduan, warga tua dan mereka yang tercicir daripada persekolahan yang tinggal di kawasan perumahan tersebut.

    “Hampir 20 keluarga terlibat dalam projek komuniti ini. Pokok moringa ditanam di tepi rumah dan mereka akan jaga pokok-pokok ini.

    “Cuma syarat yang saya tetapkan, anak mereka wajib pergi sekolah. Sekiranya ada anak mereka yang ponteng, kita tidak akan beli daun moringa lagi daripada mereka,” katanya setiap satu kilogram daun kelor akan dibayar dengan harga RM3.

    Usaha penanaman pokok Kelor ini juga turut mendapat perhatian pihak lain antaranya Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) yang bersetuju membenarkan pokok kelor ditanam di tepi tebing sungai dan kolam di bawah kendalian mereka.

    Dijangkakan 10 ribu pokok kelor akan ditanam antaranya di Sungai Darah berdekatan dengan Kampung Hang Tuah.

    Sementara itu Kolej Vokasional Kuala Selangor yang terletak bersebelahan dengan Taman Pancaran bersetuju untuk berkongsi kepakaran dalam perindustrian dan perniagaan.

    “Sasaran saya dapat membantu lebih ramai lagi penduduk di sini menambah pendapatan terutama golongan yang memerlukan dengan sasaran dapat menyantuni 50 keluarga sebelum 2020,” kata Kumaran.

    Teknik Permakultur

    Daun kelor biasanya akan dituai antara jam pukul 9:30 hingga 10:30 pagi untuk memastikan kandungan nutrien yang tinggi dengan kandungan air yang rendah.

    Ini sangat penting bagi memastikan daun kelor mudah dikeringkan dan dapat tahan lebih lama tanpa risiko kulat, katanya.

    Setiap peserta dilatih dengan cara penuaian yang betul tanpa memudaratkan pokok serta memastikan daun kelor yang dituai tidak terlalu muda atau tua.

    “Teknik penanaman pula kita gunakan kaedah Permakultur dengan menanam pokok baharu yang diselang-selikan dengan pokok kenaf dan pokok turi agar tidak memerlukan penjagaan rapi.

    “Ini membantu mengurangkan kos untuk baja atau penyiraman serta semburan serangga. Lebih penting produk ini tidak mengandungi bahan kimia atau racun berbahaya,” katanya.

    Sementara itu proses pengeringan pula melalui dua kaedah iaitu pengeringan ‘dalaman’ di mana tangkai daun kelor segar disebarkan ke atas permukaan plastik yang sudah dibersihkan dan dibiarkan kering sekurang-kurangnya selama 36 jam. Ini diikuti pengeringan menggunakan haba rendah.

    “Daun kelor perlu dikeringkan sehingga 5 hingga 10 peratus berat tangkai asal dan selepas itu baharu dikisar menggunakan mesin pengisar.

    “Penyaringan ini bagi memastikan produk yang dihasilkan tidak menyebabkan kembung perut,” katanya yang kini sedang membuat permohonan sijil halal JAKIM dan Sijil 1Malaysia Best bagi menembusi pasaran luar negara, ” katanya.

    Kumaran berkata dengan kerjasama Kolej Vokasional, beliau bercadang memperluaskan lagi penggunaan daun kelor bagi menghasilkan sabun mandi, shampoo dan pencuci muka. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda