Sunday, October 6, 2024
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Dekati penduduk kampung melalui Program Sua Muka

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    TUTONG, 4 JULAI – Dalam usaha untuk menyampaikan maklumat mengenai isu-isu semasa, dasar ke- rajaan dan dalam masa yang sama bagi menerima maklum balas yang perlu diambil perhatian dan tindakan oleh agensi-agensi kerajaan, Program Sua Muka telah diadakan hari ini di Dewan Kemasyarakatan Bukit Beruang, Jalan Bukit Bincaloi.

    Program berkenaan adalah bagi Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Bukit Beruang Kawasan 1 dan Kawasan 2, Mukim Telisai, Daerah Tutong, anjuran Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri melalui Cawangan Penerangan Daerah Tutong.

    Hadir mengetuai rombongan Jabatan Penerangan, Pegawai Penerangan Kanan, Haji Fathi Foad bin Dato Seri Setia Haji Abu Bakar selaku Ketua Bahagian Cawangan Daerah yang disertai oleh beberapa orang pegawai dan kakitangan Jabatan Penerangan.

    Turut hadir menyampaikan maklumat terkini kepada penduduk-penduduk kampung berkenaan ialah pegawai-pegawai dari Jabatan Perkhidmatan Elektrik, Jabatan Perkhidmatan Air, Jabatan Kerja Raya, Jabatan Kemajuan Perumahan dan DST Network (DSTN) Sdn Bhd.

    Antara maklumat yang disampaikan oleh Jabatan Perkhidmatan Elektrik dan Jabatan Perkhidmatan Air mengenai pembarigaan TID Rollover dan meter pintar USMS yang mana penggantian mandatori kepada sistem meter pintar USMS adalah percuma.

    Haji Fathi Foad semasa menyampaikan mukadimahnya. – GAMBAR SERAHAN JABATAN PENERANGAN
    Sesi bergambar ramai peserta Program Sua Muka. – GAMBAR SERAHAN JABATAN PENERANGAN

    Manakala DST pula membarigakan manfaat USMS yang mana pengguna dapat melihat penggunaan dari semasa ke semasa melalui aplikasi, boleh mengawal penggunaan dan memantau perbelanjaan kepada penduduk kampung dan sekitarnya.

    Haji Fathi Foad dalam mukadimahnya menekankan mengenai peranan Jabatan Penerangan sebagai lidah, mata dan telinga kerajaan dalam menyampaikan apa jua maklumat yang terkini, dasar-dasar kerajaan dan isu-isu semasa kepada rakyat dan penduduk di negara ini.

    Ini melalui beberapa landasan yang antara lain ialah Program Sua Muka dan juga melalui terbitan akhbar rasmi Pelita Brunei.

    Ketua Kampung RPN Bukit Beruang Kawasan 1 yang juga Pemangku Ketua Kampung RPN Bukit Beruang Kawasan 2, Awang Mohammad Sahan bin Mumtazali dalam ucapan balas pula menyambut baik program berkenaan.

    Ini setentunya dapat memberikan manfaat dan peluang keemasan kepada penduduk kampung berkenaan untuk mendengar maklumat-maklumat terkini yang disampaikan oleh agensi-agensi kerajaan dalam mengungkayahkan penyelesaian tentang beberapa isu yang dikemukakan dan perlu diketahui oleh penduduk kampung.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda