Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 11 NOV – Jabatan Kemajuan Pelancongan dengan kerjasama syarikat penerbangan kebangsaan, RB dan Sarawak Tourism Board telah mengadakan pengembaraan suai kenal bagi delegasi sembilan ejen pelancongan dari Dubai, baru-baru ini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Pelancongan, di sini, menyatakan usaha bersama itu, menggariskan tarikan, Twin City Gateway in Borneo, mengetengahkan Brunei dan Sarawak sebagai destinasi pelengkap yang menawarkan pengalaman pengembaraan yang pelbagai dan mengayakan.
Semasa lawatan berkenaan, ejen-ejen berpeluang untuk memulakan pengembaraan dengan jadual perjalanan yang mengasyikkan yang diisikan dengan pengembaraan dan penemuan di antaranya ekspedisi ke Taman Negara Ulu Temburong, pengembaraan memerhati burung, lawatan sungai bakau dan lawatan ke bandar.
Jabatan Kemajuan Pelancongan turut menganjurkan sesi taklimat dengan delegasi berkenaan untuk membincangkan kolaborasi berpotensi dan mengumpul maklum balas berguna mengenai profil klien mereka dengan matlamat untuk mendapatkan kefahaman yang lebih mendalam mengenai pasaran Dubai.
Platform rangkaian itu menyediakan peluang yang cemerlang bagi pertukaran idea dan memupuk hubungan yang lebih kukuh.
Delegasi berkenaan merakamkan maklum balas yang amat positif, memuji warisan semula jadi Brunei yang kaya. Hutan hujan yang asli amat menonjol dengan ciri-ciri luar biasanya yang amat berbeza dengan Dubai, di mana alam semula jadinya menambahkan lagi tarikan unik Brunei sebagai sebuah destinasi pelancongan.
Sebilangan ejen pelancongan berkenaan juga telah mengesahkan tempahan berkumpulan dari Dubai dalam beberapa bulan akan datang yang merangkumi jadual pelbagai destinasi iaitu Brunei, Malaysia dan Singapura.
Delegasi berkenaan turut menyertai aktiviti menyelam dan sukan air diikuti dengan lawatan ke Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah termasuk menyaksikan pameran Faith & Devotion sebelum berlepas meninggalkan Brunei untuk meneruskan perjalanan suai kenal ke Kuching.
Konsep dwi destinasi itu telah meraih minat yang meningkat di kalangan pelancong antarabangsa termasuk pelancong dari Dubai.
Jabatan Kemajuan Pelancongan komited untuk meningkatkan tarikan dan keterlihatan Brunei dalam pasaran Dubai yang telah dikenal pasti sebagai sebuah sasaran utama bagi 2025. Sebagai sebahagian daripada tumpuan strategik itu, jabatan berkenaan merancang untuk mengambil bahagian dalam Arabian Travel Market (ATM) di Dubai yang merupakan salah satu pameran pengembaraan dan pelancongan unggul di Timur Tengah pada lewat April 2025 nanti.
Antara akitiviti delegasi pelancongan dari Dubai Brunei semasa lawatan suai kenal ke Brunei. – Gambar serahan JABATAN KEMAJUAN PELANCONGAN