Pelakon Indonesia, Dian Sastrowardoyo berkongsi pengalaman dan cabaran dalam membawakan watak Dasiyah menerusi drama siri berjudul Gadis Kretek yang sedang ditayangkan di platform penstriman digital, Netflix.
Menerusi temu bual bersama tokoh media yang juga Penasihat Kumpulan The Star Berhad iaitu Datuk Seri Wong Chun Wai, Dian, 41, mendedahkan dia terpaksa mengasingkan diri dan tidak bergaul dengan orang ramai semata-mata ingin mendalami watak utama berkenaan.
Memetik laporan mStar, dia juga tidak melakukan sebarang aktiviti sosial dan hanya memberikan fokus kepada diri sendiri dalam tempoh tujuh bulan.
“Untuk watak ini, saya sebenarnya mengambil langkah untuk tidak bertemu dengan kawan-kawan selama lebih kurang tujuh bulan.
“Saya ini sebenarnya orang yang aktif melakukan pelbagai aktiviti tapi untuk mendalami watak Dasiyah, saya mengelakkan diri untuk bertemu dengan orang lain kecuali keluarga.
“Saya juga mendisiplinkan diri untuk tidak menonton televisyen, mendengar radio. Kalau mahu mendengar muzik pun saya hanya memilih muzik klasik Jawa atau keroncong era 40an.
“Saya mahu diri saya hanya berada di era itu (40an) dan saya hanya menghabiskan masa dengan membaca buku serta membuat latihan berjalan di rumah,” katanya menerusi saluran YouTube, Real Chun Wai.
Demi watak Dasiyah atau Jeng Yah, Dian berkata dia perlu memenuhi permintaan pengarah drama tersebut iaitu Kamila Andini yang mahu dirinya menukar cara percakapan dan berjalan.
“Pengarah mahukan saya membawakan karakter Dasiyah dengan cara berjalan dan bercakap yang sangat perlahan…mungkin empat kali lebih perlahan daripada cara saya berjalan.
“Untuk membawakan karakter seperti itu memerlukan banyak usaha dan saya meluangkan masa beberapa bulan untuk berjalan seperti Dasiyah. – Agensi