Oleh Cikgu Roya –
Disiplin yang mantap akan mendorong kecemerlangan kita dalam semua hal. Sama ada dari segi akademik, pekerjaan, tingkah laku, kesihatan, hubungan sosial sesama rakan, hatta dalam beribadah mengabdi diri kepada Allah dan dalam menjalani kehidupan seharian.
Disiplin ialah keupayaan untuk terus komited dan mengikuti tugasan kita, walaupun ketika berhadapan dengan gangguan atau kesukaran. Ia memerlukan kawalan diri, keazaman dan kesediaan untuk mengutamakan matlamat jangka panjang berbanding kesenangan jangka pendek. Dalam menjalankan perintah dan suruhan Allah kita mesti berdisiplin, ia dikenali sebagai istiqamah yang membawa maksud yang sama.
Antara punca utama kita gagal dalam mengurus dan menyelesaikan masalah yang dihadapi dalam kehidupan seharian kita adalah kerana tidak, kurang atau lalai dalam menjaga ibadah sembahyang. Sebagai contoh masalah-masalah disiplin pelajar di sekolah. Banyak pelajar yang bermasalah dari segi tingkah laku dan pergaulan didapati jarang atau tidak bersembahyang di rumah.
Sembahyang fardu bukannya nanti
Atau menunggu terbuka hati
Bukan selepas muda baru kan memulai
Ajal dan maut tidak diketahui
Sembahyang mesti digagahi, mesti jua
dikarihi Mun inda…sampai bila pun
indakan peduli.
Sembahyang lima waktu sehari semalam adalah kewajipan setiap Muslim. Begitu indah Islam memupuk umatnya untuk menjadi insan yang berdisiplin dalam kehidupan. Jika diteliti dengan lebih halus, rukun Islam yang kedua iaitu ibadah sembahyang sebenarnya melatih kita untuk menjadi manusia yang lebih berdisiplin sedari umur tujuh tahun lagi.
Jika ingin memperbaiki kehidupan kita daripada kurang baik kepada baik, daripada baik kepada lebih baik maka jaga dan perbaikilah sembahyang kita. Sebagaimana sabda Baginda Rasullulah SAW yang diriwayatkan oleh At-Tabarani yang bermaksud:
‘Bila solatnya baik maka baik pula seluruh amalnya, sebaliknya jika solatnya buruk maka buruk pula seluruh amalnya.’
Marilah kita meneroka dan meneliti bagaimana ibadah sembahyang itu dapat merubah dan meningkatkan kualiti kehidupan kita. Antaranya:
• Berdisiplin dalam menjaga dan menghargai waktu
Menjaga dan menghargai waktu merupakan dua perkara yang amat dititik beratkan dalam agama Islam. Seseorang yang berjaya menjaga disiplin dalam waktu sembahyang, bererti juga dia akan berterusan menghargai masanya dalam kehidupan seharian. Pendek kata sembahyang secara tidak langsung mengajar serta melatih seseorang itu untuk menguruskan masa dengan baik dan efisien.
Dapat menyusun jadual harian dengan teratur serta mengurangkan risiko stres yang keterlaluan dalam belajar atau bekerja. Aturlah kehidupan dan aktiviti seharian kita dengan mengutamakan waktu-waktu sembahyang. Disiplin yang dipupuk ketika mendirikan sembahyang juga akan membentuk sahsiah dan cara kehidupan kita sehari-hari, contohnya:
Seseorang yang sudah istiqamah dalam menjaga waktu sembahyang secara automatik akan memikirkan tentang kebersihan pakaian-nya, di manakah ia boleh bersembahyang, bilakah waktu yang sesuai untuk berjalan atau beraktiviti dan macam-macam lagi demi memelihara ibadah sembahyang.
• Melatih diri untuk fokus
Fokus dalam sembahyang juga dikenali sebagai khusyuk. Membaca bacaan dalam sembahyang dengan baik lagi tartil serta menghayati maksud bacaan dan menjaga adab tertib dalam pergerakan sembahyang adalah sebahagian daripada khusyuk atau fokus.
Sembahyang dengan penuh khusyuk diterima oleh Allah dan akan mendapat ganjaran pahala dariNya. Menurut seorang pakar minda, Dato Dr Rizal Abu Bakar, aktiviti otak bernama ‘Parietal Lobe’ menjadi kurang aktif sekiranya kita sembahyang dengan khusyuk dan fokus. Beliau menyenaraikan beberapa teknik yang boleh membantu kita untuk fokus atau khusyuk dalam sembahyang mengurangkan aktiviti parietal lobe.
TEKNIK PARIETAL LOBE
– Duduk dalam keadaan selesa, seterusnya tarik nafas melalui hidung. Rasakan udara yang masuk. Hembus nafas melalui mulut dengan tenang.
– Rasakan turun naik dada sewaktu bernafas. Fokus pada rasa udara yang keluar masuk serta gerakkan di dada dan di perut.
– Selepas dua minit, boleh mulakan zikir. Contohnya Allah. Itu akan mengaktifkan frontal lobe.
Frontal lobe adalah pusat kemampuan kognitif yang tinggi, meliputi proses-proses seperti ingatan kerja, fokus pada tugas, serta kemampuan untuk berfikiran strategik.
Ia juga tempat menyimpan, memproses serta mengkategorikan maklumat.
– Sewaktu sembahyang, ritma nafas perlu selari dengan bacaan. Contohnya, tarik nafas dan baca ayat.
Berhenti dan tarik nafas untuk ayat berikutnya. Kaedah itu akan tenteramkan parietal lobe.
– Fokuskan pada sebutan bacaan. Apabila fikiran melayang, tarik nafas, lepas. Sambung semula apabila dapat fokus kembali.
Lakukanlah latihan ini berulang kali agar kita terbiasa dan dapat mengamalkannya ketika sembahyang.
Sebagaimana tersebut dalam Al-Quran, Surah Al-Baqarah ayat 45 maksudnya:
“Jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu. Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat, kecuali bagi orang-orang yang khusyuk.”
Fokus dan khusyuk dalam sembahyang adalah suatu rezeki yang akan membentuk hati menjadi lebih tenang dan lapang. Sudah setentunya jika konsep khusyuk dalam sembahyang ini kita amalkan, Insya Allah ia dapat menghalang gangguan dan akan membantu kita sentiasa mengekalkan tujuan yang jelas.
Fokusnya mata kita memandang tempat sujud sepanjang mendirikan sembahyang sebenarnya melatih diri untuk menumpukan perhatian sepenuhnya dalam kerja kita, membawa kepada hasil yang lebih baik dan berkualiti.
Hablum Minallah tandanya taqwa
Sembahlah Allah pencipta semesta
Hablum Minanas wajib di jaga
Hormat menghormati sesama manusia
Sembahlah Allah pemilik semesta
Pada Mu ya Rabb, tempat meminta
Terimalah ibadah hamba yang hina
Hindarkanlah dari seksa neraka
Sama-samalah kita berdoa setiap kali sebelum mendirikan sembahyang agar sembahyang yang kita dirikan itu bukan sahaja sah diterima oleh Allah tetapi juga dikurniakan dengan kekhusyukan sepanjang melaksanakannya.
Sebagai kesimpulan disiplin dan fokus dalam semua aktiviti yang dikerjakan akan membantu kita dalam meningkatkan pencapaian, menambah produktiviti, membantu membuat keputusan yang tepat, mengurangkan stres dan membantu kita memahami keupayaan, kebolehan serta kelemahan diri sendiri.