BERLIN, 28 NOV – Pihak berkuasa di Jerman menyiasat seorang doktor di Berlin atas tuduhan membunuh lapan pesakit warga emas yang berada di bawah jagaannya dan membakar rumah mereka bagi menutup jenayah tersebut, kata pendakwa raya hari ini.
Suspek lelaki berusia 40 tahun, yang identitinya tidak didedahkan itu, bertugas dalam bidang penjagaan paliatif di bawah perkhidmatan kejururawatan. Dia telah ditahan reman pada Ogos atas dakwaan membunuh empat wanita berusia antara 72 hingga 94 tahun, serta memulakan kebakaran di rumah mangsa.
Pendakwa raya di Berlin kini mengaitkan suspek dengan empat lagi kematian membabitkan lelaki dan wanita berusia antara 61 hingga 83 tahun.
Polis pada Ogos lalu memaklumkan bahawa suspek sedang disiasat atas empat pertuduhan membunuh tanpa niat, satu pertuduhan membakar dan tiga pertuduhan cubaan membakar.
Bagaimanapun, pendakwa raya Berlin kini mengklasifikasikan kejadian tersebut sebagai kes bunuh.
“Suspek dipercayai tidak mempunyai motif lain untuk membunuh selain keinginan untuk membunuh itu sendiri,” kata pendakwa raya, menuduh suspek memiliki ‘keinginan untuk membunuh’.
Menurut polis, antara 11 Jun dan 24 Julai, suspek didakwa membunuh empat pesakit wanita yang berada di bawah jagaan perkhidmatan kejururawatannya di Berlin.
Dalam satu kes, seorang wanita berusia 87 tahun berjaya diselamatkan semula selepas menerima bantuan kecemasan tetapi meninggal dunia kemudian di hospital.
Dalam kes lain, suspek didakwa memulakan kebakaran, tetapi api tersebut padam dengan sendirinya. – AFP