Wednesday, June 26, 2024
33.9 C
Brunei

    -

    Doktor di Korea rancang mogok baharu

    SEOUL, 16 JUN – Krisis penjagaan kesihatan di Korea Selatan kelihatan semakin meruncing, dengan profesor perubatan dan doktor merancang mogok umum minggu ini, mendorong kerajaan melaksana rancangan luar jangka bagi mengatasi kekurangan berpotensi dalam perkhidmatan perubatan.

    Kira-kira 50 peratus doktor di empat hospital utama yang bergabung dengan Universiti Kebangsaan Seoul (SNU) bersedia untuk memulakan mogok tidak terhad bermula esok, menurut tinjauan yang dijalankan oleh jawatankuasa kecemasan profesor perubatan di SNU.

    Lebih 500 daripada kira-kira 970 profesor telah memutuskan untuk mengurangkan atau menggantung rawatan pesakit luar dan menangguhkan pembedahan, sambil menyeru kerajaan untuk menarik balik sepenuhnya langkah-langkah pentadbiran untuk menghukum doktor pelatih yang telah meninggalkan tempat kerja mereka sejak Februari untuk membantah kenaikan kuota kemasukan ke sekolah perubatan kerajaan.

    Bilik bedah di Hospital Universiti Kebangsaan Seoul, Hospital Universiti Kebangsaan Bundang Seoul dan Hospital Boramae dijangka menyaksikan kadar penggunaannya merosot kepada separuh daripada tahap semasa mereka iaitu sebanyak 62.7 peratus pada hari biasa sejak mogok doktor pelatih bermula, jelas jawatankuasa itu.

    Walaupun bilik kecemasan dan rawatan untuk pesakit yang kritikal akan terus beroperasi, kebimbangan semakin meningkat dalam kalangan pesakit tentang jurang dalam penjagaan perubatan, walaupun Korea terkenal dengan penjagaan kesihatan yang berpatutan dan akses mudah kepada perkhidmatan hospital berbanding negara Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan yang lain.

    Persatuan Perubatan Korea gabungan terbesar kumpulan doktor dengan kira-kira 140,000 ahli, kebanyakannya pengamal swasta memberikan ‘kata dua terakhir’ kepada kerajaan pada 16 Jun, mengatakan ahlinya akan menamatkan perkhidmatan mereka dan berkumpul mulai 18 Jun jika tuntutan mereka tidak diterima. – ANN/The Star

    Pekerja perubatan berjalan di luar hospital kanak-kanak di Seoul pada 11 Mac lalu. – ANN/The Star
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Kelahiran Korea Selatan kembali pulih pada bulan April

    SEOUL, 26 JUN - Kelahiran di Korea Selatan kembali pulih dalam tempoh 19 bulan di tengah-tengah kebimbangan yang berlarutan mengenai penurunan berterusan dalam jumlah...