BERLIN, 31 Okt – Borussia Dortmund kehilangan statusnya sebagai pendahulu Bundesliga dan Pierre-Emerick Aubameyang sudah berhenti menjaringkan gol, tetapi jurulatih Peter Bosz menafikan adanya krisis sebelum aksi Liga Juara-Juara menentang APOEL.
Dortmund berdepan dengan perjuangan berat untuk mara ke peringkat kalah mati di Eropah, apabila mereka ketinggalan enam mata di belakang Real Madrid dan Tottenham Hotspur dalam Kumpulan H selepas tiga perlawanan.
Kekalahan kepada Tottenham dan Real, sebelum seri di APOEL di Nicosia dua minggu lalu, telah meletakkan Dortmund, finalis Liga Juara-Juara 2013, berdepan penyingkiran peringkat kumpulan.
Namun perkara tidak sebegitu bagus di kem Dortmund.
Kemenangan 5-0 dalam Piala Jerman di divisyen ketiga, Magdeburg minggu lepas adalah satu-satunya kemenangan Dortmund dalam lima perlawanan kebelakangan ini.
“Tiada krisis, Hanover hanya terlalu agresif berbanding kami,” tegas warga Belanda itu selepas kekalahan 4-2 di Hanover 96, yang menyaksikan Bayern Munich menggantikan Dortmund di puncak Bundesliga.
Untuk menjadikan kedudukannya buruk, Aubameyang, penjaring terbanyak Bundesliga musim lepas, mengalami kemarau dalam tiga perlawanan terakhir meskipun sudah menjaringkan 15 gol dalam semua persaingan musim ini.
Pengarah sukan, Michael Zorc berkata dia ‘hilang kata-kata’ dengan kemerosotan mengejut prestasi pasukan.
APOEL akan berusaha memanfaatkan peluang mereka di Signal Iduna Park, di mana kekalahan akan menamatkan harapan pasukan itu ke 16 terakhir.
Pasukan itu seri 1-1 dalam perlawanan pertama apabila satu kesilapan penjaga gol Dortmund, Roman Burki memberikan Mickael Pote peluang meletakkan APEOL di depan sebelum pemain pertahanan Sokratis Papastathopoulos menyamakan kedudukan dengan satu tandukan.
Hujung minggu lalu, pertahanan longgar Dortmund terdedah sekali lagi oleh Hanover 96, yang tanpa belas kasihan menjejaskan pasukan pelawat dengan siri serangan balas. – AFP