Saturday, September 21, 2024
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Double uni mudah, pantas dan kuat

    Oleh Raz AS –

    Meskipun tidak sekuat ikatan FG, yang sangat popular dalam kalangan ramai pemancing, ikatan double uni merupakan salah satu daripada jenis ikatan yang tetap menjadi pilihan ramai pemancing di seluruh dunia.

    Ikatan double uni, yang juga dikenali sebagai uni-to-uni, digunakan untuk menghubungkan dua tali tanpa penggunaan kili-kili, selain daripada bertujuan untuk menyambung tali utama dengan shock leader, ia juga boleh digunakan untuk menyambung tali pancing yang telah pendek akibat selalu putus dengan tali baharu.

    KELEBIHAN

    Ikatan double uni boleh digunakan untuk pelbagai jenis tali pancing, tidak kiralah daripada jenis monofilament, fluorocarbon atau tali sulam, sama ada untuk menghubungkan dua tali daripada jenis yang sama mahupun berlainan, menjadikannya lebih versatil berbanding ikatan FG.

    Kelebihannya menyerlah kerana ia merupakan antara pilihan terbaik untuk mengikat dua tali berdiameter kecil di mana ikatan FG tidak sesuai digunakan.

    Teknik membuat ikatan ini sangat mudah dan dapat dikuasai dengan cepat melalui sedikit latihan. Meskipun begitu jangan sangkakan mudah ia bermaksud tidak kuat, jangan pandang rendah kerana ia tidak serumit ikatan FG yang memakan lebih banyak masa dan juga latihan untuk dibuat dengan sempurna.

    Panduan langkah demi langkah untuk membuat ikatan double uni. – GAMBAR BC FISHING JOURNAL

    KEKUATAN

    Sesetengah uji kaji tentang kekuatannya menunjukkan double uni boleh mencapai lebih daripada 80 peratus kekuatan tali yang diikat, sementara ada juga yang mencatat lebih daripada 90 peratus terutama apabila kedua-dua tali tersebut mempunyai diameter yang tidak jauh berbeza.

    Yang pastinya, mengikut pengalaman peribadi, tali sulam 20lb yang diikat dengan perambut monofilament 15lb, menggunakan ikatan double uni, tidak pernah mengecewakan kami dalam setiap pertarungan ketika memburu tenggiri.

    CARA MENGIKAT

    Pertama sekali gandingkan dua tali yang ingin disambung dari arah yang bertentangan.

    Bermula dengan hujung salah satu daripada tali tersebut buatkan lingkaran bulatan dan lilitkan hujung tali itu pada kedua-dua tali tersebut melalui lubang lingkaran itu tadi sebanyak beberapa kali.

    Kemudian tarik pangkal tali dan hujung tali itu untuk mengencangkan ikatan. Setelah itu, lakukan proses yang sama pada tali yang satu lagi.

    Apabila kedua-dua tali sudah dibuatkan ikatan, baharulah kedua-dua pangkal tali ditarik dari arah bertentangan untuk menemukan dua ikatan itu tadi dan potongkan lebihan hujung tali bagi mengemaskannya.

    Jumlah lilitan tergantung pada jenis tali dan ketebalannya. Bagi monofilament dan fluorocarbon, cukup sekadar empat hingga lima kali lilitan, manakala bagi tali sulam pula perlulah dililit sekurang-kurangnya sebanyak lapan kali lilitan bagi mengelakkan ia terlucut kerana sesetengah tali sulam mempunyai permukaan yang sangat licin.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda