Saturday, September 28, 2024
34.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    DPMM FC kecewakan Lion City Sailors

    Oleh Fadhil Yunus –

    SINGAPURA, 11 JULAI – DPMM FC mempamerkan prestasi terbaik mereka dalam musim Liga Perdana Singapura selepas menumpaskan calon juara, Lion City Sailors 3-1 di Stadium Bishan di Singapura hari ini.

    Keputusan itu menjejaskan harapan Sailors untuk meraih gelaran juara apabila mereka terlepas peluang untuk merebut kedudukan teratas daripada pendahulu liga, Albirex Niigata (S) dan sebaliknya kekal di belakang dengan ketinggalan dua mata setelah bermain lebih satu perlawanan.

    Ia juga merupakan tamparan hebat bagi Lion City apabila turun ke tangga ketiga selepas Tampines Rovers menewaskan Tanjong Pagar dalam perlawanan lain.

    Sementara itu, pasukan DPMM FC berjaya membuka perlawanan dengan cemerlang selepas Azwan Ali Rahman mendapatkan gol pendahuluan pada minit kesembilan sebelum Hakeme Yazid bin Said menggandakan jaringan pasukannya pada minit ke-34.

    Bagaimanapun, Lion City Sailor mengekalkan harapan untuk merebut kejuaraan apabila Adam Swandi merapati kedudukan dengan menyumbat gol pada minit ke-52 dengan tandukan tepat ke dalam gawang.

    Pada minit ke-65, Angel Martinez melebarkan kedudukan pasukan DPMM FC setelah berhasil mencetak gol melalui rembatan dari jarak dekat.

    Manakala pemain gantian DPMM FC, Abdul Azizi Ali Rahman berdepan situasi satu lawan satu dengan penjaga gol Lion City Sailors, Zharfan Rohaizad namun rembatannya berjaya diselamatkan oleh penjaga gol Lion City.

    Ketika penyerang Lion City, Shawal Anuar mencari peluang untuk melakukan rembatan di dalam kotak penalti, usahanya gagal apabila pertahanan DPMM FC bertindak cemerlang dengan memaksa pihak lawan untuk mengambil sepakan sudut.

    Sailors kemudian melakukan lagi satu serangan tetapi ia adalah peluang yang sukar untuk Shawal Anuar menanduk bersih yang juga menyukarkan penjaga gol DPMM FC, Kristijan Naumovski selepas sepakan kemas yang dilakukan Zulqarnaen Suzliman.

    Pasukan tuan rumah mendapat sepakan percuma yang diambil oleh Maxime Lestienne namun rembatannya agak melencong yang sekali gus mengakhiri perlawanan tersebut.

    Pasukan DPMM FC bergambar ramai sebelum perlawanan bermula di Stadium Bishan, Singapura kelmarin. – Gambar oleh Fadhil Yunus
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda