Sunday, December 22, 2024
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘Dragon Ball’ genap 40 tahun

    TOKYO, 20 NOV – Peminat ‘Dragon Ball’ hari ini meraikan ulang tahun ke-40 francais manga, anime dan permainan video Jepun yang amat popular di seluruh dunia, hanya beberapa bulan selepas kematian penciptanya, Akira Toriyama.

    Manga asal ‘Dragon Ball’ pertama kali disiarkan pada 20 November 1984, mengisahkan seorang budak bernama Son Goku yang mengumpulkan bola ajaib berisi naga untuk melindungi Bumi.

    Komik itu telah dijual lebih daripada 260 juta naskhah di Jepun dan seluruh dunia, menurut penerbit Shueisha.

    Toriyama meninggal dunia pada usia 68 tahun pada bulan Mac akibat pembekuan darah di otaknya, yang mencetuskan curahan perasaan sedih daripada peminat, termasuk penghormatan daripada pemimpin dunia.

    Bahagian pertama siri manga tersebut diadaptasi menjadi anime TV juga bertajuk ‘Dragon Ball’ pada tahun 1986. Diterjemahkan dalam pelbagai bahasa, siri itu memikat hati kanak-kanak dengan aksi pertempurannya yang unik.

    Kelihatan orang ramai mengunjungi acara ‘Dragon Ball Daimatsuri’ untuk menyambut ulang tahun ke-40 francais Dragon Ball karya Akira Toriyama, di Tokyo Big Sight, Tokyo, pada 6 Oktober. – AFP

    ‘Dragon Ball Z,’ adaptasi bahagian akhir manga itu, membawa populariti siri tersebut ke tahap yang lebih tinggi.

    Filem, permainan video dan produk sampingan lain muncul seiring dengan perkembangan francais itu menjadi fenomena global.

    “Selamat ulang tahun kepada Goku dan semua kawan-kawannya. Dan selamat jalan kepada Akira Toriyama,” kata akaun peminat anime Catsuka di laman X mereka, yang mempunyai lebih 230,000 pengikut.

    Francais tersebut amat popular di Amerika Latin, dan beberapa penghormatan muncul dalam bahasa Sepanyol di Instagram, termasuk daripada sebuah akhbar Mexico.

    “Ia adalah karya penting yang meraikan kemenangan yang diperoleh melalui persahabatan dan kerja keras. Saya rasa kesederhanaan cerita ini adalah faktor penting dalam kejayaan siri ini,” kata pelajar berusia 19 tahun, Tsutomu Tanaka, kepada AFP di Tokyo. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda