Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 9 OGOS – Sebagai usaha untuk memberi keselesaan kepada pelanggannya dan orang ramai, DST telah melancarkan perkhidmatan pakej Add-on Roaming Prepaid Data untuk mereka yang melancong ke Malaysia dan Singapura.
Dengan pelancaran itu, pelanggan prabayar Easi kini boleh mendapatkan perkhidmatan pakej perayauan data pada harga berpatutan semasa berada di dua negara itu.
Perkhidmatan berkenaan telah dilancarkan oleh Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif DST, Radin Sufri bin Radin Basiuni pada majlis pelancaran dan pengenalan yang dikhususkan untuk pengamal media di ruang berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei.
Sejurus selepas pelancaran perkhidmatan itu, Pemangku Pengurus Kanan, Perniagaan Global, Awang Muhammad Zaki bin Wahab memberi penerangan ringkas mengenai pakej berkenaan.
Perkhidmatan tambah nilai perayauan data berkenaan adalah mudah digunakan selagi pelanggan mempunyai baki kredit yang mencukupi untuk mendapatkan pakej diingini.
Pelanggan boleh membeli data tambah nilai dengan mendail *110# dan mengikuti arahan yang disediakan.
Di samping memberikan keselesaan kepada pengguna Easi, pengguna Prima juga berpeluang menikmati kemudahan menarik berkenaan setelah penelitian dilakukan dan tambahan kepada pengguna Prima yang melebihi kuota bundle berkenaan akan dikenakan kadar bayaran setiap penggunaan daripada $0.50/MB yang mana kadar ini lebih rendah daripada kadar perayauan data yang ditawarkan pada masa ini.
Perkhidmatan baharu itu memberi keselesaan kepada pelanggan di mana mereka dapat menggunakan rangkaian DST tanpa perlu menukar kad SIM sebaik saja tiba di destinasi yang dikunjungi.
