Sunday, September 15, 2024
25.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Dua maut dalam kejadian bencana alam di Filipina

    MANILA, 1 SEPT – Seorang remaja perempuan berusia 17 tahun disahkan meninggal dunia dalam kejadian tanah susur pada awal pagi hari ini, manakala seorang wanita berusia 26 tahun turut maut selepas dia dihempap oleh dinding konkrit yang runtuh di Cebu City di tengah Filipina, menurut pihak berkuasa tempatan.

    Pihak berkuasa menyatakan bahawa tanah susur yang disebabkan oleh hujan lebat itu turut menjejaskan sekurang-kurangnya sembilan buah keluarga di mana rumah mereka rosak. Penduduk kampung, termasuk mangsa sedang tidur ketika tanah susur itu berlaku.

    Tiada laporan lanjut mengenai sesiapa yang hilang dalam kejadian tanah susur yang berlaku sekitar jam 3 pagi waktu tempatan.

    Pihak berkuasa juga melaporkan seorang wanita berusia 26 tahun maut di kampung lain apabila dinding runtuh akibat hujan lebat sekitar jam 11:20 pagi waktu tempatan pada Ahad.

    Kemalangan itu turut mencederakan tiga kanak-kanak dan seorang wanita berusia 23 tahun, yang melibatkan empat buah keluarga seramai 15 orang.

    Pihak berkuasa telah memindahkan penduduk kampung ke tempat yang lebih selamat ketika bandar itu terus mengalami hujan lebat akibat sistem tekanan rendah tropika yang melanda negara itu.

    Biro cuaca negara berkata, fenomena tersebut menjejaskan wilayah tengah Filipina dan bahagian lain di negara itu, serta memberikan amaran hujan lebat di banyak kawasan. – Xinhua

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda