Sunday, September 15, 2024
25.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Dua maut selepas serangan berasingan di Karnival Notting Hill

    LONDON, 1 SEPT – Polis UK berkata kelmarin bahawa dua orang maut selepas mereka diserang dalam insiden berasingan di atau berhampiran Karnival Notting Hill hujung minggu lalu, salah satu festival jalanan terbesar di dunia.

    Mangsa-mangsa tersebut adalah seorang ibu yang menghadiri acara tahunan di London barat bersama anak kecilnya, dan seorang tukang masak yang sebelum ini bekerja di Gordon Ramsay. Mereka telah dirawat di hospital sejak serangan itu.

    Polis Metropolitan London telah mendakwa dua individu yang disyaki terlibat dalam setiap serangan itu.

    Pasukan polis itu mendedahkan awal minggu ini bahawa lapan orang telah ditikam dan ratusan ditangkap semasa perayaan budaya Afro-Caribbean British, yang diadakan setiap tahun di jalan-jalan Notting Hill dan kawasan sekitarnya.

    Cher Maximen, 32, telah ditikam di pangkal paha pada Ahad lalu selepas dia cuba campur tangan dalam pergaduhan yang tercetus. Dia meninggal dunia pada pagi Sabtu.

    Dia telah menghadiri acara tersebut bersama anak perempuannya yang berusia tiga tahun dan keluarga serta rakan-rakan lain.

    Mahkamah London pada Rabu telah memerintahkan seorang lelaki berusia 20 tahun ditahan selepas dia didakwa atas cubaan membunah Maximen. Polis Metropolitan menyatakan bahawa pertuduhan itu kini akan disemak semula oleh pendakwa raya selepas kematian Maximen.

    Secara berasingan, chef Mussie Imnetu meninggal dunia lewat Jumaat selepas dia ditemui tidak sedarkan diri lewat Isnin dengan kecederaan di kepala di luar restoran London barat yang sibuk dengan pengunjung karnival. – AFP

    Pegawai polis di Ladbroke Grove semasa Karnival Notting Hill berlangsung, di barat London pada 26 Ogos. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda