Friday, December 27, 2024
22.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Dua tahun amat singkat buat saya – Muhammad Fareez

    KUALA LUMPUR, 26 DIS – Atlet badminton yang sedang meningkat naik, Muhammad Fareez Anuar masih sukar mempercayai dirinya mampu mempamerkan peningkatan prestasi sejak aktif membawa cabaran Malaysia bermula pada 2022.

    Atlet para Malaysia berusia 28 tahun itu berkata beliau meletakkan sasaran mencapai tahap permainan mengagumkan dalam tempoh tiga tahun namun kelibatnya ternyata mencetuskan impak sehingga menggerunkan jaguh dunia lain dalam kategori perseorangan lelaki SU5 (kecacatan fizikal).

    “Tak sangka dalam masa dua tahun banyak pengalaman saya lalui termasuk peluang beraksi buat julung kali pada Sukan Paralimpik edisi Paris 2024,” katanya kepada Bernama.

    Muhammad Fareez berkata antara ‘rahsia’ pencapaian itu bertitik tolak daripada keberkesanan program latihan diatur jurulatih Nova Armada.

    Beliau berkata pendekatan diterapkan jurulatih dari Indonesia itu yang memiliki variasi corak latihan mengikut kejohanan mahupun temasya sukan banyak membantu peningkatan prestasi.

    Gambar Freepik

    “Kadang-kadang ada waktu santai, kadang-kadang ada masa dia akan push kita.

    “Saya suka pendekatan sebegitu, sebagai atlet ia buat kita rasa seronok dan tidak tertekan,” katanya.

    Pemain ranking kelima dunia itu berkata peluang berlatih bersama atlet nombor satu dunia dan pemenang pingat emas Sukan Paralimpik dua kali, Cheah Liek Hou juga banyak membantunya.

    Biarpun berjaya melangkah ke separuh akhir di Paris 2024 namun Muhammad Fareez mengakui belum dapat melupakan kegagalan membawa pulang pingat daripada temasya sukan berprestij itu.

    Impian menjelmakan pingat tidak kesampaian selepas kecundang di tangan pemain Indonesia, Dheva Anrimusthi, 21-17, 19-21, 12-21 pada aksi penentuan gangsa perseorangan lelaki SU5 di Porte de La Chapelle Arena pada September lepas. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda