Thursday, May 2, 2024
24 C
Brunei

    -

    Duit raya sebagai sedekah, bukan beban

    Oleh Nurdiyanah R. –

    Menjelang perayaan Hari Raya Aidilfitri, tradisi pemberian duit raya kepada kanak-kanak telah menjadi amalan yang tidak terpisahkan daripada perayaan di Negara Brunei Darussalam. 
     
    Namun, realiti di balik amalan ini menyimpan makna yang lebih dalam dan menimbulkan persoalan dari segi aspek tanggungjawab dan beban bagi sesetengah keluarga.
     
    Secara tradisional, duit raya dianggap sebagai bentuk tahniah dan sedekah yang disampaikan kepada kanak-kanak dalam menyambut kemenangan setelah sebulan berpuasa. 
     
    Tuntuan amalan Islam menggalakkan umatnya bersedekah terbukti dalam Surah Al-Baqarah, ayat 261, sebagaimana tafsirnya: ‘Perumpamaan (nafkah yang dikeluarkan oleh) orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah serupa dengan sebutir benih yang menumbuhkan tujuh butir, pada tiap-tiap butir; seratus biji, Allah melipatgandakan (ganjaran) bagi siapa yang Dia kehendaki dan Allah Maha Luas (kurniaNya) lagi Maha Mengetahui.
     
    Namun, penting untuk diingatkan bahawa tidak ada kewajipan dalam Islam untuk memberikan duit raya. Amalan ini seharusnya tidak dianggap sebagai beban, terutama bagi keluarga yang kurang mampu. Adalah penting bahawa duit raya diberikan sesuai dengan kemampuan kewangan masing-masing, tanpa merasa terbeban.
     
    Sampul duit raya kini boleh didapatkan dalam pelbagai reka bentuk dan warna yang menarik. – Bernama
    Kanak-kanak setentunya merupakan golongan individu yang berasa sangat gembira ketika menerima duit raya pada musim sambutan Aidilfitri. – Berita Harian
    Selain itu, hari raya juga merupakan waktu untuk mengeratkan silaturahim, dan pemberian duit raya tersebut adalah salah satu cara untuk menunjukkan kasih sayang dan perhatian. Namun, kita semua harus sedar akan keadaan ekonomi masing-masing dan tidak menjadikan ia sebagai satu kewajipan yang memberatkan.
     
    Pentingnya memahami dan menghormati aspek kewangan dalam pemberian duit raya adalah untuk memastikan bahawa semangat hari raya tetap terjaga tanpa membebani siapapun secara kewangan. Sebagai umat Islam, kita diajak untuk bertindak sesuai dengan kemampuan kita dan menghindari beban kewangan yang tidak perlu pada diri sendiri mahupun orang lain.
     
    SEMAI NILAI MURNI KEPADA ANAK-ANAK
     
    Sehubungan itu, golongan ibu bapa atau penjaga perlu memainkan peranan dan menerangkan kepada anak-anak mereka untuk jangan terlalu mengharapkan duit raya jika berkunjung ke rumah saudara-mara, rakan-rakan dan jiran terdekat.
     
    Sebaik-baiknya, setiap ibu bapa atau penjaga hendaklah sentiasa mengingatkan anak-anak mereka dengan memperbetulkan perspektif anak-anak bahawa konsep perayaan dalam Islam ialah untuk mengeratkan silaturahim dengan budaya ziarah-menziarahi dan saling bermaaf-maafan. Dengan kata lain, sudah sewajarnya mendidik anak-anak supaya tidak mengejar kepada material semata-mata, sedangkan kedatangan bulan Syawal bukan setakat disambut dengan meriah, malah penuh keinsafan dan keimanan.
     
    Melalui pengajaran dan contoh yang baik, orang tua dapat membantu anak-anak mengembangkan pemahaman yang lebih dalam tentang nilai-nilai Islam dan kepentingan menjaga hubungan yang baik dengan keluarga dan masyarakat.
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    NZ tolak keahlian pakatan teknologi pertahanan AUKUS

    WELLINGTON, 1 MEI - Menteri Luar New Zealand hari ini menolak penyertaan pakatan teknologi pertahanan penting dengan Australia, United Kingdom dan Amerika Syarikat (AS),...