Thursday, May 2, 2024
23.7 C
Brunei

    -

    KDNK negara berkembang 1.4 peratus

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 18 APRIL – Ekonomi Negara Brunei Darussalam pulih dengan kukuh pada 2023 dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebenar berkembang sebanyak 1.4 peratus di mana pertumbuhan berkenaan diterajui oleh sektor perkhidmatan khususnya sektor kewangan dan pengangkutan.

    Jumlah penumpang dan trafik kargo yang lebih besar telah menyumbang kepada peningkatan signifikan dalam aktiviti pengangkutan udara yang meningkat sebanyak 75.8 peratus pada 2023.

    Perkara yang sama disaksikan dalam subsektor kewangan di mana pertumbuhan melonjak kepada 37.4 peratus pada 2023, disokong oleh resit pendapatan yang lebih tinggi daripada aktiviti perbankan.

    Perangkaan bagi perkembangan ekonomi Negara Brunei Darussalam dikongsi menerusi Laporan ASEAN+3 Regional Economic Outlook 2024 yang diterbitkan dan dilancarkan oleh Pejabat Penyelidikan Makro-ekonomi ASEAN+3 (AMRO), baru-baru ini.

    Namun begitu, sektor minyak dan gas terus menguncup sebanyak 2 peratus pada 2023 iaitu pada kadar yang lebih perlahan berbanding dengan 2022 yang mencerminkan terdapat perkembangan yang dilakukan pada usaha-usaha rejuvenasi.

    Laporan ASEAN+3 Regional Economic Outlook 2024 yang diterbitkan baru-baru ini menyatakan bahawa keadaan pasaran pekerjaan adalah secara amnya stabil. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    Sementara itu, subsektor aktiviti hiliran menurun sebanyak 2.8 peratus disebabkan oleh kegiatan penyelenggaraan berjadual bagi sebuah loji penapisan petrokimia utama.

    Laporan itu juga menyatakan bahawa keadaan pasaran pekerjaan adalah secara amnya stabil, namun begitu, dalam sesetengah sektor seperti perkhidmatan makanan atau penginapan, perdagangan runcit atau borong dan pembinaan, keadaan pasaran buruh kekal mencabar, disebabkan oleh kebergantungan kepada pekerja-pekerja migran.

    Perkara yang menggalakkan adalah jumlah pekerja migran yang kembali terus meningkat seperti yang dicerminkan dengan meningkatnya jumlah surat pelepasan bagi permohonan lesen pekerja asing sebanyak 323.4 peratus kepada 171,197 permohonan pada 2022.

    Data terkini pada 2022 menunjukkan bahawa kadar pengangguran kekal stabil iaitu sekitar 5 peratus.

    Manakala itu, inflasi utama jatuh mendadak kepada 0.4 peratus pada 2023, yang mencerminkan harga komoditi yang lebih rendah dan normalisasi rantaian bekalan pasca pandemik.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Bangladesh catat suhu paling panas bulan April

    DHAKA, 1 MEI - Biro cuaca Bangladesh berkata hari ini bahawa bulan lalu merupakan bulan paling panas dalam rekod, dengan negara Asia Selatan dan...