Friday, November 15, 2024
27.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Dunia kecam insiden tembakan Israel terhadap penduduk Gaza

    SEMENANJUNG GAZA, 1 MAC – Kecaman global berterusan hari ini selepas tentera Israel di Gaza yang dilanda peperangan menembak penduduk awam Palestin yang berebut-rebut untuk mendapatkan bantuan makanan semasa insiden huru-hara yang dikatakan oleh Kementerian Kesihatan wilayah kendalian Hamas itu membunuh lebih 100 orang.

    Tentera Israel berkata ‘rempuhan’ berlaku apabila ribuan penduduk Gaza yang terdesak mengepung konvoi 38 trak bantuan, menyebabkan puluhan kematian dan kecederaan, termasuk ada yang digilis lori.

    Sumber Israel mengakui tentera telah melepaskan tembakan ke arah orang ramai, dipercayai ia ‘menimbulkan ancaman’.

    Kementerian Kesihatan Gaza menyebutnya sebagai ‘pembunuhan beramai-ramai’ dan berkata 112 orang terbunuh dan lebih 750 yang lain cedera.

    Presiden Perancis, Emmanuel Macron, dalam satu catatan di platform media sosial X, menyatakan ‘kecaman sekeras-kerasnya terhadap insiden tembakan itu dan menyeru kebenaran, keadilan, dan penghormatan terhadap undang-undang antarabangsa’.

    Iran mengecam ‘serangan kejam oleh rejim Zionis’, China berkata ia ‘terkejut’, dan ketua Liga Arab berkata tindakan ‘kejam’ itu menunjukkan ‘penghinaan sepenuhnya terhadap nyawa manusia’.

    Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden berkata Washington sedang menyemak ‘dua versi bersaing’ mengenai insiden yang berlaku kelmarin di utara Gaza, di mana kebuluran mengancam selepas hampir lima bulan perang antara Israel dan pejuang Hamas.

    Jurucakap Jabatan Negara AS berkata, rakaman udara kejadian itu menjelaskan ‘betapa terdesaknya keadaan di lapangan’. Washington mendesak Israel untuk membenarkan lebih banyak bantuan, katanya. – AFP

    Gambar AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda