Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 23 OGOS – Bagi memenuhi permintaan penggemar raja buah, setiap hari Awang Ariffin akan membawa masuk durian dari negara jiran sekitar dua tan, yang habis dijual dalam masa dua hari.
Peniaga di Pasar Pelbagai Barangan Gadong itu turut mengongsikan harga semasa durian ketika ini sudah murah disebabkan musim kemuncak durian selain ramai peniaga yang menjualnya.
“Tidak kira durian tempatan atau dari negara jiran, permintaan untuk raja buah semakin meningkat disebabkan variasi jenis buah yang memiliki kelunakan rasa yang berlainan yang setentunya menarik perhatian si penggemarnya untuk mencuba.
“Kami juga akan menilai pada harganya bagi memenuhi cita rasa pelanggan. Jika buah terlalu banyak, harga akan diletakkan jauh lebih murah. Manakala, kualiti durian kami memang dari yang terbaik. Alhamdulillah, permintaan dan sambutan orang ramai memang sangat menggalakkan,” ujar Awang Ariffin semasa ditemu bual Media Permata kelmarin.
Menurutnya lagi, durian tempatan seperti durian kuning dan otak udang galah turut mendapat sambutan bukan saja daripada rakyat dan penduduk tempatan di sini, bahkan pelancong luar terutamanya dari China.
“Kami bukan saja menjual durian tempatan, akan tetapi durian-durian lain seperti emas Johor, musang king dan lain-lain kerana permintaan untuk buah durian berkenaan sentiasa tinggi,” tambahnya.
Musim durian dan buah-buahan tempatan akan berlangsung sehingga penghujung tahun 2023 dan ini merupakan satu kesempatan para peniaga buah-buahan untuk mengaut keuntungan.
Menurut Dayang Aizen Syamsiah binti Haji Puasa, ketika menyentuh mengenai harga durian, peniaga durian tempatan diharap dapat menurunkan harga raja buah itu supaya ia terus mendapat sambutan dalam kalangan rakyat Brunei.
Justeru, ujarnya, peniaga seharusnya perlu lebih menumpukan untuk menarik perhatian masyarakat tempatan.
Pada ketika ini, kebanyakan harga durian tempatan dilihat semakin menurun, dan ia dijangka akan menjadi lebih murah lagi memandangkan musim kemuncak durian sudah tiba.
Pengiran Hajah Hadijah binti Pengiran Haji Besar berkata, beliau lebih selesa untuk membeli pada hujung bulan, kerana harganya akan menjadi lebih murah berbanding sekarang disebabkan semakin banyak buah yang datang.