Saturday, January 18, 2025
28.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Duterte arah polis tembak saja

    MANILA, 2 APRIL – Presiden Filipina, Rodrigo Duterte telah mengarahkan pasukan keselamatan bahawa mereka harus menembak sesiapa saja yang menimbulkan ‘masalah’ di kawasan perintah berkurung disebabkan pandemik koronavirus.

    Kira-kira separuh daripada 110 juta penduduk di negara itu pada masa ini dikuarantin – termasuk jutaan di kawasan miskin, tidak bekerja disebabkan oleh sekatan pergerakan.

    Beberapa jam sebelum Duterte memberi arahannya, lewat kelmarin, hampir puluhan orang dari komuniti miskin di bandar Manila telah ditangkap kerana mengadakan bantahan yang menuduh kerajaan gagal untuk menyediakan bantuan makanan kepada penduduk miskin.

    “Arahan saya kepada polis dan tentera, juga para pegawai kampung, bahawa jika ada masalah atau timbul situasi orang memberontak dan nyawa anda terancam, tembak mati sahaja mereka,” kata Duterte.

    “Daripada membuat masalah, saya akan hantar anda ke kubur,” katanya, menambah bahawa wabak itu semakin buruk lebih dua minggu perintah berkurung.

    Filipina setakat ini mengesan 2,311 kes dan melaporkan 96 kematian, namun negara itu hanya mula meningkatkan ujian, oleh itu jumlah jangkitan yang disahkan dijangka akan meningkat.

    Bagaimanapun, komen terbaharu presiden itu mencetuskan kritikan daripada kumpulan hak asasi kemanusiaan yang menggesa kerajaan untuk menyediakan bekalan bantuan yang diperlukan daripada sebaliknya mengeluarkan ancaman keganasan.

    Sementara itu, Ketua Polis Negara Filipina, Archie Gamboa berkata hari ini yang para pegawainya tidak akan menembak mati para pencetus masalah.

    “Barangkali presiden hanya memberi penekanan berlebih-lebihan terhadap implementasi undang-undang pada waktu krisis ini,” tambahnya. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda