ISTANBUL – Minat mendalam Li Xintong terhadap seni Ebru iaitu seni marbling kertas tradisional Turkiye yang berusia ratusan tahun, bermula pada tahun 2007 ketika dia berpindah dari Xi’an, bandar di barat laut China, ke Istanbul.
Terpesona dengan keindahan seni itu selepas melihatnya buat kali pertama di televisyen, Li mendaftar kelas seni Ebru di Turkiye untuk mendalami seni tersebut.
Selepas tujuh tahun belajar dengan penuh dedikasi, Li memperoleh sijil sarjana dalam seni Ebru dan mula menggabungkan elemen budaya China, seperti pakaian tradisional Cina dan aksara tulisan tangan, ke dalam karya seni Ebrunya, mencipta gabungan unik dua budaya.
“Seni ini nampak mudah pada permukaan, tetapi apabila awda mendalaminya, awda akan sedar ia sangat kompleks,” kata Li kepada Xinhua semasa temu bual di studionya.
Untuk menghasilkan seni Ebru, langkah pertama melibatkan artis menyembur dan menyapu pigmen semula jadi di atas air berminyak untuk mencipta corak pusaran berwarna-warni, sebelum corak tersebut dipindahkan ke atas kertas atau kain.
Menurut seorang pakar dan penulis terkenal seni Ebru di Turkiye, Yavuz Tiryaki, penguasaan seni itu memerlukan kajian, latihan, bertahun-tahun dan pemahaman mendalam terhadap kaedah tradisional.
“Corak rumit seni Ebru hanya dapat dihasilkan dengan bahan semula jadi seperti hempedu lembu yang telah digunakan selama hampir 500 tahun,” jelasnya.
Li turut berkata, “Penyediaan larutan air dan kelikatannya, serta proses mencampur dan membuat pigmen – yang merangkumi 70 hingga 80 peratus seni ini – merupakan cabaran terbesar.”
Ahli sejarah percaya seni Ebru berasal dari Timur Jauh dan diperkenalkan ke Turkiye melalui Laluan Sutera semasa era Uthmaniyyah. Seni itu telah diwarisi turun-temurun dan kini disenaraikan sebagai warisan budaya tidak ketara dunia UNESCO.
Setelah berjaya menguasai seni itu di Turkiye, Li kerap kembali ke China untuk menganjurkan bengkel dan kelas dalam talian, memberi peluang kepada peminat seni Ebru di China untuk mempelajari seni itu sekali gus memupuk pertukaran budaya.
Minat yang semakin meningkat terhadap karya Li turut menarik perhatian media Turkiye.
Dia sering dijemput untuk mempamerkan hasil seninya yang unik kepada masyarakat Turkiye.
“Saya membuat beberapa penyesuaian seperti menambah elemen Cina, termasuk kipas sutera, selendang sutera, payung kecil dan payung kertas mini,” katanya.
“Masyarakat Turkiye mendapati elemen-elemen Cina ini mempesonakan dan sering kali menelefon untuk menyatakan kekaguman mereka,” jelasnya.
Dedikasi Li terhadap seni Ebru turut mendapat pengiktirafan daripada gurunya yang merupakan pakar Ebru terkenal dengan pengalaman lebih 20 tahun, Erol Caglar.
“Saya mempunyai pelajar dari China dan negara lain dan saya boleh katakan bahawa pelajar paling berdedikasi adalah dari China,” kata Caglar.
“Minat mendalam Li terhadap seni Ebru dapat dilihat melalui dedikasi dan komitmennya yang tidak pernah luntur sepanjang bertahun-tahun. Dia terus berusaha untuk menguasai dan memperkembangkan seni ini,” tambahnya. – Xinhua