WASHINGTON, 27 APRIL – Pertumbuhan ekonomi AS merosot pada suku pertama tahun ini, kata Jabatan Perdagangan hari ini, kerana kemungkinan kemelesetan sederhana berlaku manakala perbelanjaan pengguna semakin lemah.
Penggunaan telah memberikan rangsangan kepada ekonomi terbesar dunia itu, memberikannya permulaan yang kukuh untuk 2023, tetapi kegawatan sektor perbankan baru-baru ini dan kenaikan kadar faedah berkemungkinan mempengaruhi prospek.
Keluaran dalam negara kasar AS meningkat pada kadar tahunan 1.1 peratus dalam tempoh Januari hingga Mac, turun daripada 2.6 peratus pada suku keempat tahun lalu.
“Berbanding dengan suku keempat, penurunan dalam KDNK pada suku pertama mencerminkan kemerosotan dalam pelaburan inventori swasta dan kelembapan dalam pelaburan tetap bukan kediaman,” kata Jabatan Perdagangan.
Ia menambah bahawa ini sebahagiannya diimbangi oleh pertumbuhan dalam perbelanjaan pengguna dan peningkatan dalam eksport.
“Angka pertumbuhan KDNK mencerminkan peningkatan dalam perbelanjaan pengguna, eksport, perbelanjaan kerajaan persekutuan, bersama-sama dengan beberapa bentuk pelaburan lain,” kata jabatan itu dalam satu kenyataan.
Aktiviti ekonomi semakin lembap apabila Bank Pusat AS menaikkan kadar pinjaman penanda aras dengan pantas untuk menangani inflasi yang teruk, manakala kesan penuh daripada pergolakan sektor kewangan baru-baru ini berikutan kegagalan tiga pemberi pinjaman bersaiz sederhana bulan lepas di negara itu masih belum dilihat sepenuhnya. – AFP
