Thursday, September 19, 2024
28.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ekonomi berdaya tahan untuk generasi akan datang

    Oleh Sim Y.H. –

    Ekonomi Negara Brunei Darussalam pada masa ini banyak bergantung pada sektor minyak dan gas sebagai sumber eksport dan hasil pendapatannya.

    Bagi memastikan ekonomi yang berdaya tahan untuk generasi akan datang, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui gagasan Baginda, Wawasan Brunei 2035, menekankan usaha bagi memastikan Negara Brunei Darussalam menjadi sebuah negara yang mempunyai rakyat yang berpendidikan, berkemahiran dan berjaya, mempunyai kehidupan yang berkualiti serta ekonomi yang dinamik dan berdaya tahan.

    MEMBELBAGAIKAN EKONOMI NEGARA

    Pelbagai kemajuan telah dilakukan di bawah inisiatif-inisiatif bagi ketiga-tiga matlamat Wawasan Brunei 2035. Bagaimanapun, pencapaian wawasan berkenaan masih lagi memerlukan peningkatan sekiranya negara ingin mencapai sasarannya menjelang 2035.

    Sepanjang pemerintahan Baginda Sultan, Negara Brunei Darussalam bukan sahaja telah melalui perubahan landskap infrastruktur mengikut peredaran masa tetapi juga mencapai pembangunan fizikal, ekonomi dan teknologi yang selari dengan rakan-rakan serantau.

    Namun begitu, Brunei terus mengekalkan keunikan budaya dan pendiriannya dengan menanam nilai-nilai falsafah negara, Melayu Islam Beraja, serta mencapai hasrat sebuah negara maju yang terus relevan di persada serantau dan antarabangsa.

    Walaupun ekonomi Brunei pada masa ini banyak bergantung pada sektor minyak dan gas namun negara perlu mempelbagaikan ekonominya seiring dengan arus perubahan. – GAMBAR FAIL
    Penekanan terus diberikan kepada penyertaan serta perkembangan pengusaha-pengusaha tempatan dalam pembangunan ekonomi negara. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    Semua itu perlu melalui transformasi ekonomi yang menjurus kepada usaha mempelbagaikan ekonomi daripada hanya bergantung kepada industri minyak dan gas.

    Perkembangan ekonomi negara memerlukan usaha untuk mempelbagaikannya secara menyeluruh di mana pembangunan sektor bukan minyak dan gas serta sektor minyak dan gas terus maju ke hadapan demi pembangunan negara yang mampan seiring dengan arus perubahan serantau dan global.

    Baginda Sultan dalam titah sempena Sambutan Tahun Baharu Masihi 2024 menekankan impak positif negara dalam mempelbagaikan ekonomi yang telah menyaksikan sektor bukan minyak dan gas membuahkan hasil yang dihasratkan.

    “Menyentuh mengenai kepelbagaian ekonomi, Beta sangat gembira dengan perkembangan sektor bukan minyak dan gas yang sangat menggalakkan, yang meningkat sebanyak 5.3 peratus bagi tempoh enam bulan pertama tahun 2023,” titah Baginda.

    “Ini tentu saja hasil usaha bersepadu kerajaan Beta dengan kerjasama sektor swasta dalam mempelbagaikan ekonomi negara.”

    Dalam hubungan itu, Baginda juga menyeru agar usaha mempelbagaikan ekonomi serta penglibatan sektor swasta terus dipertingkatkan bagi kemajuan ekonomi negara yang bukan sahaja berdaya tahan tetapi juga dinamik.

    “Usaha ini tidak boleh berhenti, malah terus digiatkan untuk mencapai ekonomi yang dinamik dan berdaya tahan.”

    TONGGAK UTAMA DALAM STRATEGI PEMBANGUNAN EKONOMI

    Selain itu, kerajaan terus menggandakan usahanya untuk memupuk pertumbuhan industri-industri baharu yang mempunyai potensi pertumbuhan yang tinggi selaras dengan Peta Jalan Industri dan Pelan Tindakan Ekonomi Brunei yang menyasarkan kepada lima sektor utama, iaitu hiliran minyak dan gas, perkhidmatan, makanan, ICT dan pelancongan.

    Dalam lima tahun kebelakangan ini, kelima-lima sektor utama berkenaan telah menunjukkan trend yang meningkat terutamanya dalam sektor hiliran minyak dan gas.

    Sektor itu dijangka akan berkembang lebih maju apabila projek petrokimia PMB Hengyi membangunkan fasa kedua penapisan minyak Brunei.

    Mengenal pasti akan peranan penting yang dimainkan oleh sektor swasta sebagai enjin pertumbuhan ekonomi, kerajaan terus komited untuk memupuk persekitaran perniagaan yang kondusif.

    Dalam hubungan itu, kerajaan secara aktif mengemaskinikan peraturan, menarik pelaburan langsung asing berkualiti tinggi, menyediakan ruang perindustrian dan memupuk pertumbuhan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) melalui program yang disasarkan di bawah Darussalam Enterprise (DARe).

    Perkara itu ditekankan oleh Baginda Sultan dalam titah perutusan sempena Hari Kebangsaan Negara Brunei Darssalam ke-40, “Dalam masa yang sama, usaha juga dilaratkan kepada peningkatan projek usahasama dengan pelaburan langsung asing, antaranya dalam bidang berkaitan sekuriti makanan yang bertujuan untuk mengurangkan kebergantungan import.”

    Pada masa yang sama, penekanan terus diberikan kepada penyertaan serta perkembangan pengusaha-pengusaha tempatan dalam pembangunan ekonomi negara.

    “Kita juga ingin terus melihat kemajuan pengusaha-pengusaha tempatan dalam bidang-bidang yang diutamakan oleh negara, dan meningkatkan penglibatan pengusaha-pengusaha baharu, khususnya dalam kalangan generasi muda,” titah Baginda.

    “Keyakinan ini terbit daripada sikap orang-orang Brunei yang cekal berusaha memajukan diri, meskipun ada kalanya berhadapan dengan pelbagai cabaran.”

    Sementara itu, dalam titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia semasa Majlis Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan ke-20, Majlis Mesyuarat Negara (MMN) bagi 2024, Baginda Sultan menyatakan menerusi Laporan ASEAN Plus Three Macroeconomic Research Office (AMRO), ekonomi negara telah diramalkan akan mengukuh kepada 2.4 peratus pada 2024, yang diterajui oleh sektor bukan minyak dan gas, melalui aktiviti perekonomian dalam sub-sektor pertanian, makanan, kewangan, pengangkutan dan pelancongan, serta perluasan aktiviti dalam sektor penapisan hiliran minyak dan gas.

    “Beta juga telah difahamkan bahawa beberapa usaha mempelbagaikan ekonomi telahpun dilaksanakan, namun masih saja belum mencukupi untuk mengimbangi kedudukan defisit fiskal kerajaan.

    “Tetapi apapun keadaan, pada hakikatnya kita tidak dapat lagi terlalu bergantung kepada semata-mata sektor minyak dan gas, kerana terdapat beberapa faktor di luar kawalan kita seperti penurunan pengeluaran minyak dan gas dan harga pasaran global minyak dan gas yang tidak menentu,” titah Baginda.

    Ke arah membangunkan ekonomi negara, Baginda bertitah selain usaha mempelbagaikan ekonomi, isu alam sekitar dan perubahan iklim juga perlu diberikan penekanan.

    “Usaha-usaha perlulah diteruskan dan dipertingkatkan lagi ke arah mempelbagaikan ekonomi serta memberikan tumpuan kepada industri-industri strategik, di mana negara mempunyai potensi dan kekuatan untuk lebih berjaya. Pada masa yang sama, isu-isu semasa seperti isu alam sekitar, perubahan iklim dan sebagainya juga perlu diberikan perhatian.

    “Walau apa pun berlaku, hala tuju pengeluaran minyak dan gas mesti diaktifkan dan industri hiliran minyak dan gas dikembangkan serta bekalan tenaga elektrik dan bahan api terus diutamakan.”

    Tidak dapat dinafikan bahawa usaha untuk membangunkan ekonomi negara yang berdaya tahan dan mampan, memerlukan kerjasama segenap lapisan rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam bagi sama-sama mendukung dan memanfaatkan usaha bagi memastikan ia membawa kepada kemakmuran, keamanan dan pembangunan negara yang mampan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda