Saturday, October 26, 2024
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘Ekonomi global berisiko terperangkap dalam pertumbuhan rendah’

    WASHINGTON, 25 OKT – Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) memberi amaran kelmarin bahawa ekonomi global berisiko terperangkap dalam laluan pertumbuhan rendah dengan hutang tinggi, sambil menggesa pembuat dasar bertindak terhadap hutang dan melaksanakan pembaharuan yang menyokong pertumbuhan.

    “Ekonomi global berisiko terperangkap dalam laluan pertumbuhan rendah dengan hutang tinggi, yang bermakna pendapatan lebih rendah dan pekerjaan yang lebih sedikit. Ia juga bermakna hasil kerajaan lebih rendah, jadi kurang pelaburan untuk menyokong keluarga dan menangani cabaran jangka panjang seperti perubahan iklim,” kata Pengarah Urusan IMF Kristalina Georgieva dalam sidang media semasa Mesyuarat Tahunan 2024 IMF dan Kumpulan Bank Dunia yang sedang berlangsung, lapor Xinhua.

    Georgieva menyeru pembuat dasar memastikan inflasi kembali ke sasaran di semua negara, sambil menekankan bahawa cabaran utama bank pusat kini adalah untuk “menyelesaikan masalah inflasi tanpa merosakkan pasaran pekerjaan secara tidak perlu.”

    Kedua, beliau berkata, “sekarang adalah masanya untuk bertindak terhadap hutang dan defisit selepas bertahun-tahun menyokong fiskal yang diperlukan.

    “Sekarang adalah masa untuk membina semula penampan fiskal di kebanyakan negara. Ini boleh dilakukan secara beransur-ansur, tetapi ia perlu dimulakan sekarang.”

    Ketiga dan paling penting, katanya, negara perlu melaksanakan pembaharuan yang menyokong pertumbuhan seperti mengurangkan kerenah birokrasi dan memperbaiki tadbir urus, sambil menekankan bahawa analisis IMF menunjukkan pembaharuan ini dapat meningkatkan keluaran sebanyak 8 peratus dalam tempoh empat tahun di negara membangun.

    Dalam Tinjauan Ekonomi Dunia (WEO) terkini yang dikeluarkan pada Selasa, IMF mengekalkan unjuran pertumbuhan global pada 2024 sebanyak 3.2 peratus, konsisten dengan unjurannya pada Julai.

    Prospek pertumbuhan bagi tempoh lima tahun akan datang kekal suram, pada 3.1 peratus, terendah dalam beberapa dekad. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda