SAN FRANCISCO, 5 JUN – Seorang eksekutif terkemuka Twitter yang bertanggungjawab bagi keselamatan dan penyederhanaan kandungan telah meletak jawatan dari syarikat itu, tidak lama selepas pemiliknya, Elon Musk secara terbuka mengadu mengenai pengendalian platform itu mengenai topik transgender.
Peletakan jawatan eksekutif itu menunjukkan gelombang pergolakan baharu dalam kalangan pegawai utama di Twitter sejak Musk mengambil alih tahun lalu.
Ketua amanah dan keselamatan Twitter, Ella Irwin mengesahkan peletakan jawatannya melalui ciapannya lewat Jumaat lalu.
Dia tidak menyatakan dalam mesej mengapa dia meletak jawatan, tetapi pemergiannya berlaku sejurus Musk mengkritik pengendalian Twitter terhadap ciapan mengenai dokumentari syarikat media konservatif yang mempersoalkan rawatan perubatan untuk kanak-kanak dan remaja.
Musk menjawab aduan oleh Ketua Pegawai Eksekutif bersama syarikat media, Daily Wire, Jeremy Boreing. Boreing berkata dalam ciapan dan ciapan semula pada Khamis lalu bahawa Twitter telah menyekat filem itu dengan menandakan bebenang (thread) mengenainya sebagai ucapan kebencian dan menjadikan filem itu tidak terdapat dalam senarai topik trending. – AP