Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 OKT – Eksesais Sembilang 16/22 di antara Polis Marin Pasukan Polis Diraja Brunei (POLMAR PPDB) dan Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB) telah bermula kelmarin hingga 27 Oktober ini.
Perasmian eksesais itu telah disempurnakan oleh Pemangku Pengarah Gerakan PPDB, Penguasa Kanan Polis Matusin bin Haji Jumat yang berlangsung di Bilik Tenang, Ibu Pejabat POLMAR PPDB.
Antara yang hadir pada majlis tersebut ialah Pemerintah Armada TLDB, Kapten (L) Khairil Haji Abdul Rahman; Pemangku Pegawai Pemerintah POLMAR PPDB, DSP Kasnol bin Haji Mohammad Kincho; Pegawai Pemerintah KDB SYAFAAT, Leftenan Komander Nazurah binti Haji Mahaleh, serta pegawai-pegawai dari TLDB dan POLMAR.
Menurut kenyataan PPDB, eksesais dua hala tahun ini dianjurkan oleh POLMAR PPDB yang bertujuan untuk meningkatkan dinamik operasi antara kedua-dua agensi keselamatan negara serta memupuk hubungan semangat kerjasama melalui amalan prosedur operasi standard (SOP).
Adapun konsep yang diterapkan pada eksesais berkenaan adalah untuk memberi tumpuan kepada keselamatan maritim terutamanya dalam menangani illegal, unregulated, unreported Ffshing (IUU).
Eksesais yang melibatkan tiga unit iaitu KDB SYAFAAT dan Grup Tindak Permukaan Laut (GTPL) TLDB serta Unit Operasi Khas (UOK) POLMAR PPDB juga akan dijalankan dalam tiga fasa iaitu fasa pangkalan, fasa laut dan fasa penutup.
Fasa pangkalan selama dua hari membabitkan pelbagai latihan seperti latihan plottex, sesi simposium, perbincangan operasi, serta bengkel compliant boarding dan penggeledahan yang diselaraskan oleh GPTL.
Bagi sesi simposium tahun ini, ia disampaikan oleh tiga agensi iaitu Jabatan Peguam Negara, Jabatan Perikanan dan Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Negara Brunei Darussalam.