Sunday, January 19, 2025
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ekspresikan kreativiti menerusi teknik ‘Dutch Pour’

    Oleh Nurdiyanah R.

    Tatkala ilham beralun di minda, jari-jemari insan ini sentiasa mencoretkan lakaran di atas kanvas.

    Bagaikan melukis dari hati sehingga mampu terhasilnya karya-karya lukisan yang indah serta menyejukkan mata setiap orang yang memandangnya.

    Dengan adanya anugerah bakat serta minat yang mendalam dalam dunia seni lukis itu, segala ketenangan dan kepuasan akan sentiasa dirasai dalam diri seorang insan yang bergelar pelukis.

    Itulah juga antara curahan kata-kata dari hati salah seorang wanita tanah air kita yang berjiwa kreatif dalam dunia seni lukis akrilik (acrylic paintings), Dayang Sabrina binti Mohamad Daud semasa ditemui penulis baru-baru ini.

    Memanfaatkan ilmu pengajian asas seni lukis

    Dayang Sabrina yang kini berusia 26 tahun mula bergiat aktif dalam menceburi dunia seni lukis ini sejak di bangku sekolah menengah atas dorongan salah seorang guru yang menyarankan beliau mengambil subjek seni lukis.

    Dayang Sabrina ketika melakar sesuatu di atas kanvas lukisannya semasa ditemui penulis baru-baru ini.
    Antara karya seni lukis akrilik yang dihasilkan oleh Dayang Sabrina yang pastinya bukan hanya memiliki gabungan warna yang menarik bahkan setiap sentuhannya juga memiliki makna penuh tersirat jika kita benar-benar menyelaminya.
    Dengan mengaplikasikan teknik ‘Dutch Pour’ di mana dengan menyirami cat dengan warna yang dipilih di atas kanvas lalu meratakan lapisannya sebagai latar belakangnya sebelum mengoleskan beberapa warna cat akrilik secara melencong dari atas ke bawah untuk menjadikannya sebuah ukiran seni berbentuk abstrak seperti berbentuk sebuah hiliran air yang mengalir itu perlu menggunakan pengering rambut.
    Manakala untuk memperelokkan lagi seni ukiran abstrak pada kanvas itu perlu dilakukan dengan meniup cat-cat tersebut menggunakan sebatang straw plastik dengan penuh ketelitian sehingga terciptanya sebuah seni karya abstrak.

    Namun kecintaan terhadap dunia seni lukis akrilik ini semakin bersemarak dalam jiwa beliau apabila berpeluang mengikuti kursus rekaan dan seni lukis semasa mengikuti pengajian di Universiti Brunei Darussalam beberapa tahun lalu.

    “Dengan adanya kemahiran asas yang saya perolehi daripada pembelajaran kursus sampingan semasa di universiti suatu ketika dahulu, itulah pencetus langkah awal saya untuk berjinak-jinak dalam dunia seni lukis menggunakan cat akrilik (acrylic ink) sekali gus menceburi dunia keusahawanan dalam talian secara kecil-kecilan,” ucapnya dengan senyuman kegembiraan yang kini giat menjalankan perniagaan menerusi platform dalam talian Instagram yang dibawah nama ScarletCJnA.bn.

    Seni abstrak menerusi teknik ‘Dutch Pour’

    Menerusi seni lukis sebegini, Dayang Sabrina hanya menggunakan barangan-barangan asas antaranya kanvas dengan pelbagai saiz, koleksi cat akrilik yang berwarna-warni, pengering rambut (hair-dryer), straw plastik dan berus gigi.

    Jelasnya, dengan mengaplikasikan teknik ‘Dutch Pour’ dengan menyirami cat menggunakan warna pilihan atas kanvas lalu meratakan lapisannya sebagai latar belakangnya sebelum mengoleskan beberapa warna cat akrilik secara melencong dari atas ke bawah untuk menjadikannya sebuah ukiran seni berbentuk abstrak.

    Manakala untuk menjadikan cat-cat akrilik berbentuk seperti sebuah hiliran air yang mengalir itu perlu menggunakan pengering rambut.

    Bagi menghidupkan lagi seni ukiran abstrak pada kanvas itu, cat-cat perlu ditiup menggunakan sebatang straw plastik dengan penuh ketelitian sehingga terciptanya menghasilkan suatu karya yang dimahukan.

    Untuk menyerikan permukaannya bolehlah juga dipercikkan salah satu atau lebih pilihan warna cat akrilik menggunakan berus gigi. Setelah itu barulah dijemur sebaik-baiknya di bawah cuaca panas matahari agar kekeringan lukisan tersebut merata secara menyeluruh.

    Daya kreativiti pencetus keindahan lakaran karya

    Insan berjiwa penuh kreatif menjelaskan sememangnya seni lukis menggunakan cat akrilik ini tidak begitu sulit namun apa yang pasti sifat ketekunan dan kesabaran amat penting dalam menghasilkan karya-karya lukisan yang indah.

    “Apa yang pasti, daya kreativiti seperti pemilihan gabungan warna-warna cat itu juga memainkan peranan yang mustahak untuk menghasilkan karya-karya yang mampu memukau mata dan hati yang menyaksikannya,” ujarnya lagi.

    Memiliki makna penuh tersirat

    Dayang Sabrina yang berasal dari Daerah Tutong ini turut menjelaskan bahawa setiap sentuhan dengan taburan warna-warni itu semestinya memiliki makna penuh tersirat jika kita benar-benar diselami dan dihayati.

    Salah sebuah karya lukisan beliau yang memiliki gabungan penuh artistik warna kehijauan dan kekuningan dengan berlatarbelakangkan warna putih yang dinamakan ‘Green Vibes’ itu sememangnya membawa maksud kepada sebuah keindahan warna yang mampu mewujudkan ciri kesegaran dan juga nilai-nilai positif seperti ketenangan dan kelembutan hati dan jiwa dalam diri seseorang.

    Terhasilnya sebuah karya yang tidak diduga

    Dalam pada itu, Dayang Sabrina yang merupakan salah seorang alumni mahasiswi jurusan Sarjana Muda Sains dalam bidang Matematik itu turut berkongsi pandangan bahawa dunia seni lukis ini sememangnya memiliki cabaran yang tersendiri lebih-lebih lagi dalam mencurahkan kreativiti atau idea namun itulah juga yang menjadikannya begitu istimewa di mana pada akhirnya menerusi seni itu kita akan dapat menyaksikan sesuatu karya baharu yang tidak diduga dan memiliki keunikan yang tersendiri.

    “Menyemai sikap sabar dan berusaha dengan sebaiknya tanpa berputus asa di samping sentiasa memohon kerahmatan daripada Allah SWT dalam kehidupan seharian.

    “Itulah kunci segalanya yang perlu kita pegang sampai bila-bila dalam kita menerokai pelbagai bidang keusahawanan meskipun bermula secara kecil-kecilan,” saranan beliau dengan penuh ketulusan untuk semua lapisan masyarakat khususnya usahawan muda di negara ini semasa mengakhiri sesi temu bual bersama Media Permata, baru-baru ini.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda