Tuesday, October 15, 2024
28.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    England bangkit benam Finland

    HELSINKI, 14 OKT – Sepakan percuma menarik Trent Alexander-Arnold memberikan inspirasi kepada kemenangan England 3-1 ke atas Finland dalam saingan Liga Negara-Negara pada Ahad, sekali gus mengelak episod memalukan susulan kekalahan mengejut di tangan Greece di Wembley, empat hari lalu.

    Skuad kendalian Lee Carsley sekali lagi bergelut untuk menampilkan aksi meyakinkan di Helsinki, namun berjaya mempamerkan kualiti yang cukup memberangsangkan pada akhir perlawanan bagi menyelamatkan pengurus sementara itu daripada kesulitan tambahan.

    Jack Grealish membuka jaringan pada babak pertama, disusuli sepakan percuma Trent Alexander-Arnold dan Declan Rice pada 20 minit terakhir sebelum Finland meraih gol saguhati menerusi Arttu Hoskonen pada penghujung perlawanan. Namun kemenangan itu merupakan kemenangan ketiga England dalam empat perlawanan di bawah Carsley, yang menggantikan Gareth Southgate buat sementara, untuk mengekalkan England dalam saingan promosi daripada Liga Negara-Negara Kumpulan B2 manakala Finland kekal di tangga tercorot selepas tewas semua aksi.

    Bagaimanapun, Carsley masih berdepan cabaran yang kini menjadi tumpuan Persatuan Bola Sepak England (FA) dalam menentukan pengganti tetap Southgate.

    Selepas memenangi dua perlawanan awalnya menentang Ireland dan Finland pada September, percubaan taktikal Carsley – bermain dengan lima pemain tengah menyerang tanpa penyerang – gagal memberikan impak dalam kekalahan kepada Greece, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai kesesuaiannya untuk jawatan tersebut.

    Laporan pada Ahad menyebut bekas pengurus Bayern Munich dan Chelsea, Thomas Tuchel sedang berbincang dengan FA, sementara pengurus Newcastle, Eddie Howe, turut dikaitkan dengan jawatan tersebut.

    Carsley dijangka terus memimpin England dalam dua perlawanan penting – bertemu Greece di Athens pada 14 November, diikuti pertemuan menentang Ireland di Wembley pada 17 November.

    Bagi memperbaiki prestasi pasukan, Carsley melakukan enam pertukaran pemain dan kembali kepada barisan konvensional. – AFP

    Aksi Alexander-Arnold semasa perlawanan Liga Negara-Negara di Stadium Olimpik di Helsinki, Finland, baru-baru ini. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda