Wednesday, February 5, 2025
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    England fokus kemenangan

    KALININGARD, 28 Jun – England dan Belgium bersaing merebut kedudukan teratas dalam kumpulan mereka awal pagi esok ketika pasukan yang masih lagi bersaing pada Piala Dunia dikejutkan dengan penyingkiran Jerman dari kejohanan di Rusia itu.

    Kedua buah pasukan, yang sebahagian besarnya dibarisi dengan pemain dari Liga Perdana, mara menerusi Kumpulan G, dengan memenangi dua perlawanan mereka dan sekarang berada dalam kedudukan bagi menentukan juara dan naib juara kumpulan.

    Persaingan mereka di Kaliningrad menyusul penyingkiran dramatik juara Piala Dunia 2014 kendalian Joachim Loew, yang menamatkan tangga tercorot dalam kumpulan mereka selepas kekalahan 2-0 kepada Korea Selatan, menamatkan kempen memalukan Jerman.

    Loew, yang mengetuai pasukannya dalam kemenangan ke atas Argentina pada Piala Dunia 2014 di Brazil, enggan membincangkan mengenai masa depannya selepas keputusan semalam.

    Selain kebimbangan besar bagi pasukan Argentina pimpinan Lionel Messi, yang memerlukan jaringan lewat dari Marcos Rojo untuk mara ke fasa kalah mati pada awal pagi Rabu lalu, semua pasukan besar mara ke peringkat 16 terakhir di Rusia.

    Gareth Southgate (kanan) menjawab soalan pada satu sidang media, yang turut dihadiri oleh pemainnya, Eric Dier di Kaliningrad. – AP

    Terdapat sebahagian perbincangan bahawa England mungkin mempunyai laluan mudah pada Piala Dunia jika mereka tewas di Kaliningrad.

    Tetapi jurulatih Gareth Southgate berkata pasukannya menumpukan bagi kemenangan, bukan untuk menentukan laluan tertentu pada peringkat kalah mati.

    England cemerlang dalam dua perlawanan pembukaan Piala Dunia mereka, menewaskan Tunisia 2-1 di Volgograd dan membenam Panama 6-1 di Nizhny Novgorod.

    Tetapi mereka menghadapi pasukan ranking ketiga dunia, Belgium, skuad yang dipenhui dengan pemain berbakat bertaraf dunia, seperti Eden Hazard dan Kevin De Bruyne. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda