Saturday, September 28, 2024
30.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Erdogan kecam kehadiran Netanyahu di PBB

    ISTANBUL, 27 SEPT – Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan mengecam kehadiran Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNGA), menyifatkannya sebagai ‘memalukan’, lapor agensi Anadolu.

    “Adalah sangat memalukan bahawa seorang penjenayah (Netanyahu), yang telah melakukan genosid di Palestin, boleh hadir di bawah naungan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

    “Ini adalah satu pengkhianatan terhadap kenangan anak damit, kanak-kanak, ibu bapa, pegawai PBB, wartawan dan ramai lagi yang dibunuh secara kejam,” kata Erdogan kepada pemberita pada Rabu di Turkish House di New York.

    Pejabat Perdana Menteri Israel memaklumkan bahawa Netanyahu berlepas ke New York pada awal kelmarin dan dijangka berucap pada sesi ke-79 UNGA pada Jumaat, menurut media tempatan.

    “UNGA sama ada akan melayan pembunuh (Netanyahu) seperti yang sepatutnya atau situasi memalukan ini akan tercatat dalam sejarah PBB sebagai satu titik hitam,” kata Erdogan.

    Beliau turut menyatakan bahawa PBB berada dalam keadaan yang tidak mampu melaksanakan misinya bagi menghalang peperangan, tidak dapat melindungi pegawai-pegawainya sendiri dan gagal menuntut Israel bertanggungjawab atas pembunuhan terbabit.

    Erdogan juga menekankan bahawa PBB kehilangan fungsinya dan kini menjadi struktur yang mempertahankan sistem di mana ‘kekuatan adalah segalanya.’

    Dalam ucapannya di Perhimpunan Agung, Erdogan berkata, “Bagi isu Gaza, saya sekali lagi menyatakan dengan jelas bahawa sistem dan institusi antarabangsa yang ada sekarang telah gagal melaksanakan tanggungjawab utama mereka.”

    Erdogan turut mengadakan siri pertemuan dua hala di New York dengan pemimpin dunia seperti Canselor Jerman, Presiden Ukraine, Perdana Menteri Greece dan Setiausaha Agung PBB. – Bernama

    Erdogan ketika menyampaikan ucapan di sesi ke-79 Perhimpunan Agung PBB, pada 24 September, di ibu pejabat PBB. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda