LAUSANNE, 21 DIS – FIFA semalam berjanji akan memperuntukkan AS$19 juta tambahan setiap empat tahun kepada setiap daripada 211 anggota persekutuannya jika badan bola sepak dunia berjaya dalam usahanya untuk mengadakan Piala Dunia sebagai acara dua tahun sekali.
Badan itu mengadakan sidang kemuncak global secara maya semalam untuk membincang pelan kontroversi untuk menganjur Piala Dunia setiap dua tahun dan bukannya empat tahun, sebagai sebahagian daripada kalendar perlawanan antarabangsa baharu untuk tempoh selepas 2024.
Hujah-hujah ekonominya belum dinyatakan sebelum ini, namun FIFA berharap jumlah tersebut boleh sekurang-kurangnya memujuk negara lebih kecil supaya menyokong rancangan tersebut.
Sekiranya Piala Dunia diadakan setiap dua tahun, satu laporan bebas oleh penyelidik pasaran di Nielsen menganggarkan kira-kira AS$4.4 bilion pendapatan tambahan akan dihasilkan dalam tempoh empat tahun.
Laporan juga mencadangkan pendapatan daripada penerimaan kemasukan penonton, hak media dan tajaan untuk kejohanan 48 pasukan – seperti yang akan dilihat pada Piala Dunia mulai 2026 – mungkin meningkat daripada tujuh bilion dolar kepada AS$11.4 bilion, peningkatan lebih daripada 60 peratus.– AFP
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2021/12/P22-3-FIFA_22122021.jpg)