Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Filipina henti operasi judi dalam talian milik China

    MANILA, 23 JULAI – Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr, kelmarin mengarahkan pengharaman segera terhadap operasi perjudian dalam talian yang kebanyakannya dikendalikan oleh warga China, dengan menuduh mereka terlibat dalam jenayah termasuk penipuan kewangan, pemerdagangan manusia, penyeksaan, penculikan dan pembunuhan.

    Langkah Marcos untuk melarang operasi perjudian dalam talian yang jumlahnya dianggarkan lebih daripada 400 di seluruh Filipina dan menggaji puluhan ribu rakyat China dan Asia Tenggara itu dilakukan di tengah-tengah tindakan tegas yang disokong oleh Beijing.

    Tindakan tersebut telah menyebabkan penutupan beberapa kompleks besar di mana pihak berkuasa mengesyaki ribuan rakyat China, Vietnam dan lain-lain dari Asia Tenggara telah direkrut secara haram dan dipaksa bekerja dalam keadaan yang tidak berperikemanusiaan.

    Marcos mengumumkan keputusan itu semasa ucapan negara beliau, sambil menegaskan bahawa Filipina akan meneruskan usaha untuk memperkukuhkan keupayaan pertahanan dengan membentuk pakatan keselamatan dengan negara-negara sahabat.

    Beliau menambah bahawa negara itu hanya akan menyelesaikan pertikaian melalui diplomasi.

    Filipina mempunyai hubungan yang rumit dengan China, termasuk penglibatan perdagangan yang ketara dan kerjasama dalam memerangi jenayah.

    Namun, mereka juga menghadapi pertikaian yang berpanjangan di Laut China Selatan.

    Dalam perkembangan lain, senator Filipina mengarahkan penahanan Datuk Bandar di wilayah Tarlac, utara Manila, yang gagal hadir pada pendengaran awam bagi menyiasat tuduhan terhadapnya.

    Tuduhan termasuk kaitannya dengan kompleks perjudian dalam talian besar berhampiran dewan bandarnya dan syak wasangka bahawa beliau menyembunyikan kewarganegaraan Chinanya untuk membolehkan beliau bertanding jawatan awam yang dikhaskan hanya untuk rakyat Filipina. – AP

    Marcos semasa menyampaikan Ucapan Negara Ketiganya di Dewan Perwakilan Rakyat di Quezon City, Filipina, pada 22 Julai. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda