Monday, October 7, 2024
23.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Filipina tangguh penyedutan minyak dari kapal tangki karam

    MANILA, 1 OGOS – Pengawal Pantai Filipina (PCG) hari ini berkata bahawa penyedutan bawah air bagi 1.4 juta liter minyak bahan api industri (IFO) daripada sebuah kapal tangki minyak yang karam di wilayah Bataan, barat Manila, akan ditangguhkan selama dua minggu lagi.

    Komandan PCG, Laksamana Ronnie Gil Gavan berkata, para penyelam sedang mengukuhkan pengedap injap dan paip untuk memastikan minyak tidak bocor semasa operasi-operasi menyedut.

    “Penyedutan mesti dilakukan dengan cara paling selamat,” kata Gavan sambil menambah bahawa para penyelam akan menggantikan pengedap yang diperbuat daripada beg penutup kanvas khas dengan pengedap logam untuk mengelakkan risiko-risiko yang tidak berpatutan.

    Gavan berkata penyedutan akan ditangguhkan hingga dua minggu kemudian paling awal.

    “Langkah wajar ini akan memberi kami kawalan yang lebih baik untuk mengurangkan ke tahap minimum kemungkinan tumpahan minyak yang teruk semasa aktiviti menyedut,” tambahnya.

    Kapal itu, dikenali sebagai MTKR Terranova, terbalik dan akhirnya tenggelam pada 25 Julai di luar wilayah Bataan. – Xinhua

    Foto udara menunjukkan tompokan minyak di Teluk Manila, kira-kira dua kilometer dari pantai perbandaran Malolos, wilayah Bulacan pada 29 Julai. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda